Chong Wei bakal terima anugerah ijazah kehormat USM

Chong Wei. - Foto 123RF
Chong Wei. - Foto 123RF
A
A
A

GEORGETOWN - Lagenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei antara lima tokoh yang bakal menerima ijazah kehormat dalam Upacara Konvokesyen ke-58 Universiti Sains Malaysia (USM) pada 2 Disember depan.

Naib Canselor USM, Profesor Dr Faisal Rafiq Mahamd Adikan berkata, tokoh sukan negara merangkap pemenang pingat perak tiga kali di Sukan Olimpik itu akan menerima Ijazah Kehormat Doktor Sains Sukan.

Menurutnya, Ijazah Kehormat Doktor Sains akan diberikan kepada Dr David Lacey yang merupakan tokoh industri yang telah banyak menyumbang ke arah pembangunan ekonomi negara melalui kepakarannya dalam bidang sains.

"Upacara Konvokesyen ke-58 akan bermula pada 2 Disember (Sidang 1) di Istana Arau, Perlis dan diikuti dengan sidang kedua hingga kesepuluh bermula pada 13 hingga 21 Disember di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP), USM Pulau Pinang.

"Canselor USM, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail telah berkenan untuk mempengerusikan sidang satu pada hari Khamis, 2 Disember 2021 di Istana Arau dengan melibatkan penganugerahan kepada lima penerima utama," katanya menerusi satu kenyataan di sini pada Isnin.

Dr Faisal berkata, bagi penerima gelaran Profesor Emeritus pula dianugerahkan kepada Profesor Emeritus, Dr Zhari Ismail yang merupakan mantan Akademia USM yang mempunyai kepakaran luas dalam penyelidikan herba tempatan dan farmaseutikal.

Katanya, bagi gelaran Profesor Emerita pula dianugerahkan kepada mantan Naib Canselor wanita pertama USM merangkap tokoh akademia tersohor di peringkat nasional, Datuk Dr Asma Ismail, FASc.

Sementara itu, seorang Penerima Pingat Emas Canselor (Pelajar Terbaik Segala Lapangan) dianugerahkan kepada Khaw Teng Kang (Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik & Elektronik, yang berasal dari Selangor yang bergraduasi dengan mencapai PNGK 3.97)

Artikel Berkaitan:

Sejumlah 5,964 graduan akan menerima ijazah masing-masing termasuk Ijazah Tinggi (PhD dan Sarjana-1899), Ijazah Sarjana Muda (4,031) dan Diploma Kejururawatan (34).

Dr Faisal berkata, Tuanku Canselor juga telah memperkenan untuk Upacara Konvokesyen ke-58 USM bagi Sidang Kedua hingga Sidang Kesepuluh 10 dipengerusikan oleh Profesor Canselor-Pro Canselor USM iaitu Tan Sri Datuk Dr. Zulkefli A.Hassan, Tan Sri Datuk Mustafa Mansur dan Tan Sri Dato’ Dr M Jegathesan.

Jelasnya, upacara konvokesyen ini akan dilaksanakan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

"Hanya graduan yang lengkap dua dos vaksin sahaja dibenarkan menyertai upacara konvokesyen pada kali ini," katanya.