Omicron makin hampiri Malaysia

Varian baharu yang ditemui di Afrika itu Selatan telah memasuki Hong Kong. Gambar hiasan
Varian baharu yang ditemui di Afrika itu Selatan telah memasuki Hong Kong. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Rakyat diingatkan agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) termasuk disaran mengambil dos penggalak Covid-19 susulan varian baharu Omicron semakin menghampiri negara ketika ini.

Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, ini kerana varian baharu yang ditemui di Afrika Selatan itu telah memasuki Hong Kong.

"Sebab itu kerajaan hari ini sangat prihatin dan telah memulakan langkah kawalan ketat dengan tidak membenarkan individu daripada kawasan tertentu yang ada jangkitan Omicron ini datang ke Malaysia.

"Mereka yang datang akan dibuat ujian calitan dan akan dikuarantin selama 14 hari.

Jadi saya hendak terangkan sekali lagi bahawa pentingnya kita mengambil dos penggalak demi keselamatan bersama," katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Ahmad Johnie Zawawi (GPS -Igan) yang mahu tahu apakah tindakan diambil Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menyakinkan orang ramai untuk menerima dos penggalak Covid-19 bagi membendung jangkitan varian baharu Omicron.

Mengulas lanjut, Dr Noor Azmi berkata, dos penggalak sangat penting kerana ujian menunjukkan setelah enam bulan imuniti berkurangan dan kajian di luar negara turut menunjukkan dengan adanya dos penggalak ia meningkatkan imuniti.

"Jadi dengan ini (ambil dos penggalak), maka kuranglah jangkitan semula atau kesan teruk yang diterima.

Artikel Berkaitan:

"Saya percaya di negara kita ada sedikit kelekaan berlaku kerana (apabila) kita sudah mencapai hampir 80 peratus populasi yang dapat dos lengkap hingga menyebabkan mereka rasa Covid-19 sudah semakin berkurangan.

"Tapi kita kena faham dengan kewujudan varian baharu yang disebut Omicron ini telah dijumpai di Afrika Selatan dan terkini di Hong Kong, maka sudah dekat dengan kawasan kita," katanya.

Pada 26 November, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengumumkan pengembara warga Malaysia yang merancang lawatan ke tujuh negara iaitu Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia dan Zimbabwe tidak akan dibenar meneruskan perjalanan mereka.

Beliau berkata, ia merupakan inisiatif kerajaan dalam mempertingkatkan langkah pencegahan dan kawalan sempadan termasuk bagi pengembara yang tiba di pintu masuk negara.

Katanya, tiga negara telah melaporkan kes membabitkan varian Omicron iaitu Afrika Selatan (77 kes), Botswana (empat) dan Hong Kong (dua).