4,638 unit rumah mampu milik tidak terjual

Jagdeep
Jagdeep
A
A
A

GEORGETOWN - Sebanyak 4,638 unit rumah mampu milik yang telah siap, namun masih tidak terjual di Pulau Pinang dengan nilai jualan kira-kira RM3.66 bilion.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, rekod itu meletakkan Pulau Pinang pada kedudukan kedua tertinggi dari segi unit kediaman tidak terjual (overhang) di belakang Johor ketika ini.

“Pulau Pinang berada pada kedudukan kedua paling tinggi di belakang Johor dengan unit kediaman tak terjual (overhang) sebanyak 6,509 rumah mampu milik,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan ADUN Teluk Bahang, Zolkifly Md Lazim.

Mengulas lanjut, Jagdeep berkata, pihaknya menyedari mengenai isu ‘overhang’ yang dihadapi dalam sektor perumahan negeri ekoran pandemik Covid-19 serta sentiasa berusaha mendorong firma pemaju perumahan bukan kerajaan supaya memberi tumpuan kepada pembinaan rumah mampu milik berbanding rumah mewah yang mencecah harga jutaan ringgit.

“Saya selalu bercakap (kepada firma pemaju perumahan bukan kerajaan) jangan hanya mengejar keuntungan semata-mata, kita perlu saling membantu rakyat semasa pandemik Covid-19 untuk mendiami rumah pertama mereka.

“Di Pulau Pinang boleh dibina rumah (dengan harga jualan) sehingga RM1 juta tetapi sangat sukar untuk dijual, jadi kita perlu membina lebih banyak rumah mampu milik,” ujarnya.

Jagdeep berkata, kerajaan negeri Pulau Pinang akan sentiasa meletakkan agenda merumahkan setiap rakyat Pulau Pinang mengikut kemampuan kewangan terutamanya golongan B40 dan M40.

Artikel Berkaitan:

Katanya, perkara itu diterjemahkan melalui penetapan sasaran pembinaan sebanyak 220,000 unit rumah mampu milik menjelang tahun 2030 bagi memenuhi hasrat 1 Keluarga 1 Kediaman.