KPDNHEP Perak akui harga sayur, ayam naik

Pegawai penguat kuasa KPDNHEP menjalankan pemantauan dan pemeriksaan harga sayur-sayuran di sebuah pasar awam di daerah Manjung. FOTO KPDNHEP
Pegawai penguat kuasa KPDNHEP menjalankan pemantauan dan pemeriksaan harga sayur-sayuran di sebuah pasar awam di daerah Manjung. FOTO KPDNHEP
A
A
A

IPOH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak mengakui barangan keperluan seperti sayur-sayuran mengalami peningkatan harga sejak beberapa minggu lalu.

Pengarahnya, Saifullizan Kamarul Zaman berkata, seramai 176 penguat kuasa KPDNHEP Perak dan 79 Pegawai Pemantau Harga ditugaskan untuk melakukan pemeriksaan serta pemantauan harian di setiap rantaian pengedaran melibatkan pengeluar, pemborong dan peruncit di seluruh negeri.

Menurutnya, hasil pemeriksaan oleh KPDNHEP mendapati antara sayur-sayuran yang naik harga seperti kubis bunga, sawi, brokoli, kacang buncis, kubis, cili merah dan cili hijau selain keperluan lain seperti ayam serta telur.

"Dapatan awal mendapati kenaikan harga barangan keperluan tersebut dipengaruhi oleh faktor-faktor seperti peningkatan kos pengeluaran, keadaan cuaca semasa yang tidak menentu dan ketidakseimbangan penawaran dan permintaan dalam pasaran.

"Bagi memberi pilihan kepada pengguna ketika berbelanja, rakyat di Perak disarankan supaya menggunakan aplikasi Price Catcher yang dibangunkan oleh kementerian secara percuma," katanya dalam satu kenyataan akhbar pada Isnin.

Menurutnya, aplikasi tersebut berupaya memberi pilihan yang lebih meluas kepada pengguna untuk membeli barangan keperluan kerana meliputi perkongsian harga lebih 400 barangan keperluan di seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

Pegawai penguat kuasa KPDNHEP menjalankan pemantauan dan pemeriksaan harga barangan keperluan di sebuah pasar raya di daerah Manjung. FOTO KPDNHEP
Pegawai penguat kuasa KPDNHEP menjalankan pemantauan dan pemeriksaan harga barangan keperluan di sebuah pasar raya di daerah Manjung. FOTO KPDNHEP

Dalam pada itu, Saifullizan berkata, KPDNHEP Perak telah mengeluarkan sebanyak 57 Notis Pengesanan Maklumat Barangan dan 136 Surat Pemberitahuan Semakan Harga Barangan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 kepada peniaga barangan keperluan yang disyaki mencatut sehingga 28 November.

Menurutnya, KPDNHEP boleh mengambil tindakan ke atas mana-mana peniaga di setiap rantaian bekalan sekiranya terdapat unsur pengambilan keuntungan secara tidak munasabah atau mencatut di bawah AKHAP 2011.

Beliau berkata, peniaga yang dikesan mengambil kesempatan dengan mencatut boleh dikenakan tindakan tegas di bawah Seksyen 14(1), AKHAP 2011.

"Jika disabit kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 bagi perbadanan atau syarikat dan hukuman denda sehingga RM100,000 bagi individu atau dipenjarakan tidak melebihi tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.