Petugas Parlimen korban Covid-19

Petugas Parlimen korban Covid-19. Gambar hiasan
Petugas Parlimen korban Covid-19. Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Seorang petugas Parlimen disahkan meninggal dunia akibat Covid-19.

Pengarah Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (JKWPKL&P), Datuk Dr Param Jeeth Singh Pakar Singh berkata, lelaki berusia 54 tahun itu menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada Ahad.

"Kes tidak diketahui menghidapi sebarang penyakit kronik sebelum ini," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menjelas lanjut mengenai kejadian itu, beliau berkata, lelaki berkenaan mula mengalami gejala demam dan batuk pada 3 November lalu.

"Dia telah melakukan ujian saringan RT-PCR pada 8 November dengan nilai kitaran ambang (CT value) 17.4 sebelum diarahkan ke pusat penilaian Covid-19 (CAC) bagi penilaian klinikal dan seterusnya rawatan susulan jika berkaitan," katanya.

Dr Param berkata, sehari selepas itu, lelaki berkenaan hadir ke CAC Dewan Komuniti Bukit Bandaraya, Bangsar dengan memaklumkan mengalami sesak nafas.

"Penilaian klinikal menunjukkan status Covid-19 kes adalah kategori empat dan beliau dengan segera telah dirujuk ke HKL dan dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut.

"Siasatan pergerakan kes mendapati pergerakan lelaki berkenaan sebelum ini hanya meliputi tempat kerja dan rumah sahaja. Dia tidak terlibat dengan perjumpaan bersama ahli perwakilan Parlimen dalam tempoh dua minggu sebelum beliau bergejala.

Artikel Berkaitan:

"Malah dia juga sudah tidak hadir bekerja sejak mula mengalami gejala dan hari terakhir hadir ke pejabat adalah pada 3 November," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, JKWPKL&P telah mengenalpasti empat individu yang menjadi kontak rapat melibatkan dua di rumah dan dua di tempat kerja.

"Kesemua mereka telah menjalani kuarantin sebaik sahaja dikenal pasti. Siasatan juga masih dijalankan bagi mengenalpasti punca kes mendapat jangkitan.

"Jabatan ini bersimpati dengan kejadian ini dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa," katanya.