Tiga pelajar senior madrasah mengaku cederakan junior

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KAJANG - Tiga remaja yang juga pelajar senior sebuah madrasah di Hulu Langat pada Isnin mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, atas pertuduhan mencederakan dua pelajar junior di madrasah yang sama, bulan lepas.

Ketiga-tiga tertuduh adalah pesalah juvana berusia antara 16 dan 17 tahun, membuat pengakuan bersalah itu selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Majistret Syahrul Sazly Md Sain.

Bagaimanapun, mahkamah menetapkan 29 Disember ini untuk pendengaran laporan akhlak, bagi kesemua tertuduh sebelum hukuman dijatuhkan.

Di mahkamah sama, seorang lagi pelajar senior madrasah tersebut Muhammad Muaz Zainul Abidin, 24, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan serupa dan mahkamah turut menetapkan tarikh sama (29 Dis) untuk sebutan semula kes.

Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama didakwa dengan sengaja telah mendatangkan kecederaan terhadap kedua-dua pelajar itu, masing-masing berusia 10 dan 12 tahun di bilik asrama sebuah pusat tahfiz di Hulu Langat, di sini pada 7.30 petang, 31 Oktober lepas.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Husna Amran kemudian menawarkan jaminan RM4,000 bagi setiap pesalah juvana itu, manakala RM5,000 bagi Muhammad Muaz.

Namun, kesemua tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jumlah jaminan itu dikurangkan.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah membenarkan tiga pesalah juvana itu diikat jamin RM1,000 setiap seorang, manakala Muhammad Muaz diikat jamin RM1,500, masing-masing dengan seorang penjamin. - Bernama