Agong kurnia 210 pingat kepada angkatan tentera

Al-Sultan Abdullah (duduk lapan, kiri) bersama Raja Permaisuri Agong (duduk sembilan, kiri) berkenan bergambar bersama para penerima Darjah Kepahlawanan Angkatan Tentera (DKAT) Tahun 2021 selepas Istiadat Pengurniaan di Istana Negara pada Isnin. - Foto Bernama
Al-Sultan Abdullah (duduk lapan, kiri) bersama Raja Permaisuri Agong (duduk sembilan, kiri) berkenan bergambar bersama para penerima Darjah Kepahlawanan Angkatan Tentera (DKAT) Tahun 2021 selepas Istiadat Pengurniaan di Istana Negara pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan darjah Panglima Gagah Angkatan Tentera (PGAT) kepada Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain.

Istiadat Pengurniaan Darjah Kepahlawanan Angkatan Tentera Malaysia (DKAT) 2021 menyaksikan Zamrose mendahului senarai 210 penerima pingat pada istiadat yang berlangsung di Balairung Seri Istana Negara pada Isnin.

Pada istiadat itu, Seri Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan darjah PGAT kepada Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad.

Turut berangkat mengiringi Seri Paduka Baginda yang juga Pemerintah Tertinggi ATM ke istiadat pengurniaan darjah itu ialah Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Pada istiadat itu, Seri Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan Darjah Panglima Setia Angkatan Tentera (PSAT) kepada 31 penerima, Pahlawan Angkatan Tentera (56 penerima), Kesatria Angkatan Tentera (67 penerima) dan Bentara Angkatan Tentera (53 penerima).

Penganugerahan Pingat DKAT diberikan kepada pegawai dan anggota lain-lain pangkat yang berkelayakan di atas jasa dan pengorbanan yang dicurahkan di dalam perkhidmatan ATM.

Istiadat DKAT tahun ini diadakan setelah kali terakhir berlangsung pada 2019 dan tidak dapat diadakan pada 2020 berikutan penularan wabak Covid-19 yang melanda seluruh negara.

Istiadat pada Isnin dilaksanakan dengan pematuhan ketat prosedur operasi standard (SOP) bagi aktiviti dan protokol penganjuran sesuatu majlis rasmi bagi mengekang penularan Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama ke istiadat itu ialah Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein, Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd Aziz. - Bernama