Penyertaan Hadiah Kewartawanan Malaysia sedikit merosot

Chamil Wariya
Chamil Wariya
A
A
A

SHAH ALAM - Penyertaan Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) Institut Akhbar Malaysia (MPI) Petronas 2020 mengalami sedikit kemorosotan berbanding HKM 2019.

MPI menerusi satu kenyataan berkata, bagi HKM 2020, 228 orang pengamal media telah mengambil bahagian berbanding 308 penyertaan pada HKM 2019.

“Penurunan sebanyak 26 peratus bilangan penyertaan adalah daripada tiga kategori iaitu Kewartawanan Foto Cemerlang, Foto Esei Cemerlang dan Infografik Terbaik.

“Turut menyumbang kepada kemerosotan adalah bagi dua kategori yang tidak lagi dipertandingkan iaitu Kewartawanan Antarabangsa Cemerlang yang disatukan dengan kategori Penulisan Rencana Cemerlang dan Kartun Editorial Terbaik yang kita tiadakan kerana sambutan yang tidak memberangsangkan dari segi penyertaan sejak ia pertama kali diperkenalkan.

“Bagi kategori-kategori lain, penyertaannya adalah stabil,” katanya pada Isnin.

MPI bagaimanapun berkata, penyertaan pendatang baharu dalam bidang media dan portal berita bertambah.

Katanya, ini memberi gambaran bahawa bergerak ke hadapan, media tradisional akan berhadapan dengan saingan sengit daripada organisasi media alam maya bagi 18 kategori yang dipertandingkan dalam HKM.

Antara media alam maya yang menghantar penyertaan HKM 2020 ialah The Vibes, Malaysia Gazette, Malaysiakini, Malaysian Insight dan TV Pertiwi.

Artikel Berkaitan:

MPI memaklumkan, mulai HKM 2020, hadiah kepada pemenang dijenamakan sebagai Pemenang Emas, Pemenang Perak dan Pemenang Gangsa.

“Pemenang Emas menerima hadiah sebanyak RM10,000, sijil dan trofi, Pemenang Perak menerima hadiah sebanyak RM1,500 dan sijil manakala Pemenang Gangsa pula menerima hadiah sebanyak RM1,000 berserta sijil.

“MPI juga memperkenalkan trofi baharu untuk Pemenang Emas bagi menggantikan trofi sebelum ini,” ujarnya.

MPI dalam masa yang sama turut menyatakan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas kesudian menjadi tetamu kehormat pada Malam Wartawan Malaysia 2021.

“Pada majlis yang berlangsung pada 30 November 2021 di Hotel Majestic Kuala Lumpur, beliau akan menyampaikan hadiah utama kepada para pemenang HKM MPI Petronas 2020.

“Selain menyampaikan ucapan, beliau juga akan melancarkan buku terbaharu terbitan MPI berjudul Bisnes Media dan Prinsip Jurnalistik,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi MPI, Datuk Dr Chamil Wariya berkata, mereka telah menerima sumbangan dan tajaan bernilai RM412,500 pada kali ini daripada badan-badan korporat dan agensi-agensi kerajaan Persekutuan dan negeri untuk menjayakan Malam Wartawan Malaysia 2021.

Katanya, Petronas juga bersetuju untuk menaja HKM dengan kuantum tajaan RM300,000 untuk tempoh tiga tahun lagi mulai HKM 2020 hingga HKM 2022.

“Sumbangan dan penajaan itu pada waktu sukar ini amat-amat kami hargai,” katanya.