X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 26 Jun 2022

Bekas pengurus ladang didakwa terima rasuah

Tertuduh, Sauddin (kanan) mengaku tidak bersalah menerima suapan berjumlah keseluruhan RM27,500 di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu pada Isnin.
A
A

KUALA TERENGGANU - Bekas Pengurus Ladang Tabung Tentera Terengganu didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas enam pertuduhan menerima suapan berjumlah RM27,500 untuk kerja-kerja pembekalan di Ladang Tabung Tentera Terengganu, Kemaman, antara Julai hingga Disember, enam tahun lalu.

Tertuduh, Sauddin Che Lamin, 57, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dazuki Ali.

Tertuduh didakwa menerima suapan wang berjumlah RM27,500 daripada Tham Mun Hing untuk terus memilih Syarikat TP Parts & Machinery dan Syarikat SS Terus Jaya Enterprise bagi membuat pembekalan barangan kepada Ladang Tabung Tentera Terengganu, Kemaman.

Sauddin didakwa mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.

Kesalahan itu membawa penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Ikhwan Zaudii Nordin, manakala tertuduh diwakili peguam, Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu daripada Tetuan Sharif Ridzuan & Co.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM14,000 dengan seorang penjamin.

Hakim kemudian memerintahkan tertuduh melaporkan diri ke pejabat SPRM setiap 1 hari bulan setiap bulan dan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes berkenaan pada 3 Januari tahun depan untuk serahan dokumen.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!