Polis tumpaskan sindiket pemerdagangan warga asing

Rumah yang menempatkan pendatang asing tanpa izin diserbu polis.
Rumah yang menempatkan pendatang asing tanpa izin diserbu polis.
A
A
A

SEBERANG PERAI - Sindiket pemerdagangan manusia yang membabitkan penyeludupan warganegara Myanmar tumpas susulan serbuan berasingan yang dijalankan oleh polis menerusi 'Op Pintas'.

Operasi dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman bersama Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) serta Bahagian Siasatan Khas (D9), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais berkata, dua lelaki tempatan, seorang perempuan tempatan dan seorang perempuan warganegara Myanmar dipercayai dalang bagi aktiviti itu.

Menurutnya, dua lelaki bersama seorang perempuan tempatan dan seorang perempuan warganegara Myanmar yang ditahan berasingan berusia antara 43 hingga 66 tahun dipercayai bertanggungjawab membawa masuk kesemua pendatang asing tanpa izin (PATI) dengan menggunakan jalan darat menerusi sempadan Bukit Kayu Hitam.

“Menerusi operasi tersebut, 21 lelaki dan lima perempuan warganegara Myanmar yang berusia antara 20 hingga 35 tahun berjaya ditahan oleh polis.

“Siasatan awal yang dijalankan juga mendapati setiap PATI telah membayar antara RM4,000 hingga RM5,000 kepada dalang terbabit untuk dibawa masuk ke Malaysia," katanya menerusi satu kenyataan di sini pada Isnin.

Rahimi berkata, dalam serbuan itu juga, pihak polis merampas empat buah kereta, telefon bimbit dan sejumlah wang tunai.

Katanya, kesemua individu yang ditahan serta PATI telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara untuk tindakan lanjut.

Artikel Berkaitan:

“Semua dalang yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007

(Kesalahan Penyeludupan Migran) yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih 15 tahun atau boleh dikenakan denda atau keduanya.

"Bagi PATI yang ditahan pula disiasat mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (kesalahan tidak memiliki permit yang sah) yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum dengan denda tidak lebih daripada RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau keduanya dan boleh juga dikenakan dengan sebatan yang tidak lebih enam kali sebatan," katanya.