X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 24 Januari 2022

LPF diletak bawah KDN ambil kira keselamatan, ketenteraman awam

Ismail
A
A

KUALA LUMPUR - Faktor keselamatan dan ketenteraman awam merupakan aspek tunjang yang menjadi asas Lembaga Penapisan Filem (LPF) diletakkan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN), bukan di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM).

Timbalan Menteri KDN I, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said berkata, ini kerana perkara tersebut menjadi keutamaan lembaga itu dalam menilai kandungan sesebuah filem sebelum ia ditayangkan kepada umum.

Menurutnya, sejak awal penubuhannya, LPF berada di bawah kementerian yang bertanggungjawab mengenai keselamatan dalam negeri dengan melaksanakan tugas dan tanggungjawab berdasarkan kepada Akta Penapisan Filem 2002 (Akta 620).

"Berikutan itu, LPF kekal diletakkan di bawah bidang kuasa KDN bagi memastikan kandungan filem yang ditayangkan kepada umum tidak melanggar empat aspek utama iaitu keselamatan dan ketenteraman awam, keagamaan, sosiobudaya dan ketertiban dan ketatasusilaan yang boleh mengganggu gugat keselamatan negara.

"Selain itu, LPF tidak diletakkan di bawah KKMM kerana fungsi LPF adalah terhad kepada penapisan kandungan filem yang telah siap untuk ditayangkan kepada umum.

"LPF tidak terlibat dalam urusan pembikinan atau pengeluaran filem sebagaimana yang telah pun sedia dilaksanakan secara langsung oleh pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), iaitu salah satu agensi di bawah KKMM yang melaksanakan fungsi khusus untuk membangunkan industri filem tempatan berdasarkan kepada peruntukan Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 (Akta 244).

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Lim Lip Eng (PH-Kepong) yang meminta kementeriannya menyatakan sebab LPF bukan di bawah KKMM memandangkan hal berkaitan pembikinan filem tertakluk di bawah bidang kementerian tersebut dan berapakah filem telah diharamkan pada tahun 2020 dan 2021.

Mengulas mengenai filem yang diharamkan, Ismail memaklumkan terdapat enam buah filem yang diberi keputusan Tidak Lulus Untuk Tayangan (TUT) bagi tahun 2020, manakala satu filem bagi tahun ini.

"Enam filem yang tidak diberi keputusan TUT bagi tahun 2020 adalah Daulat (Malaysia), Real Love (Perancis), Shubh Mangal Zyada Saavdhan (India), Pallu Padama Paathuka (India), White Eye (Israel) dan Boluomi (Taiwan).

"Satu filem TUT untuk tahun ini adalah Battle At Lake Changjin (China)," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!