Kanada sahkan dua kes varian Omicron Covid-19

Kanak-kanak tiba di klinik vaksinasi bersama ibu bapa di Toronto, Kanada. Foto Xinhua
Kanak-kanak tiba di klinik vaksinasi bersama ibu bapa di Toronto, Kanada. Foto Xinhua
A
A
A

OTTAWA - Kerajaan wilayah Ontario pada Ahad mengesahkan dua individu di bandar itu positif varian baharu Covid-19, iaitu Omicron yang didakwa sangat mudah berjangkit.

Menurut Xinhua, kedua-dua pesakit pernah mengunjungi Nigeria baru-baru ini.

"Jabatan Kesihatan Awam Ottawa sedang menjalankan pengurusan kes dan kontak, manakala pesakit sedang dikuarantin,” menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Kesihatan Ontario Christine Elliott dan Ketua Pegawai Perubatan Kesihatan wilayah itu Kieran Moore.

"Rangkaian Genomik Covid-19 Ontario terus memantau secara aktif semua varian berpotensi yang berada di wilayah itu, termasuk varian Omicron, dan sedang menjalankan penjujukan genomik ke atas 100 peratus sampel positif Covid-19 yang berpotensi dijangkiti."

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), varian itu dilaporkan oleh Afrika Selatan pada 24 November lepas, dengan kes pertama disahkan ditemui pada spesimen yang dikumpul pada 9 November.

Pada Jumaat, beberapa negara termasuk Kanada, mengumumkan sekatan perjalanan untuk negara-negara Afrika Selatan.

Menteri Kesihatan Kanada, Jean-Yves Duclos dalam satu kenyataan berkata, beliau sudah menghubungi rakan sejawat wilayah mengenai kes baharu itu.

"Perkembangan ini menunjukkan sistem pemantauan kami berfungsi," katanya.

Artikel Berkaitan:

"Memandangkan pemantauan dan ujian diteruskan dengan wilayah dan jajahan, dijangkakan kes lain varian itu akan ditemui di Kanada."

Pada Jumaat, kerajaan Kanada mengumumkan sekatan kemasukan terhadap warga asing yang mungkin melakukan perjalanan melalui Afrika Selatan, Mozambique, Namibia, Zimbabwe, Botswana, Lesotho dan Eswatini dalam tempoh dua minggu lalu. - Bernama