PM Ismail Sabri tiba di Singapura untuk lawatan rasmi

Ismail Sabri (kanan) dan Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad menaiki kenderaan rasmi menuju ke Tambak Johor bagi Pelancaran Pengembara Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) di Woodlands Singapura hari ini. - Foto Bernama
Ismail Sabri (kanan) dan Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad menaiki kenderaan rasmi menuju ke Tambak Johor bagi Pelancaran Pengembara Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) di Woodlands Singapura hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SINGAPURA - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tiba di sini pada Isnin memulakan lawatan rasmi beliau sempena pelaksanaan Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) melalui udara dan sempadan darat antara Malaysia dan Singapura.

Ketibaan beliau di Woodlands Checkpoint pada jam 10.45 pagi disambut oleh rakan sejawatnya dari Singapura, Lee Hsien Loong, sebelum kedua-dua pemimpin itu melawat VTL sempadan darat.

Perdana Menteri diiringi oleh Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah; Menteri Pengangkutan, Datuk Wee Ka Siong dan Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad.

Ini merupakan lawatan rasmi pertama Ismail Sabri ke republik Singapura sebagai Perdana Menteri, sebagai memenuhi undangan Hsien Loong.

Ia juga merupakan lawatan kedua Ismail Sabri ke negara jiran sejak mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia kesembilan pada 21 Ogos lepas.

Beliau sebelum ini melawat Indonesia untuk lawatan rasmi tiga hari bermula 9 November.

Majlis sambutan rasmi dijadualkan berlangsung di Istana tengah hari Isnin. - Bernama

Artikel Berkaitan: