ReDI bantu peniaga hadapi operasi niaga digital

Rosol
Rosol
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengambil inisiatif melaksanakan Pendigitalan Sektor Peruncitan (Retail Digitalisation Insiative atau ReDI) yang memfokuskan kawasan luar bandar.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, ia bertujuan meningkatkan pendedahan kepada peniaga berhubung keperluan pengoperasian perniagaan yang berkonsepkan digital terutamanya melalui penggunaan kemudahan e-wallet dalam pelbagai transaksi.

Menurutnya, peralihan perniagaan secara digital terutamanya bagi peniaga-peniaga di kawasan luar bandar wajar diberi perhatian sepenuhnya supaya mereka tidak ketinggalan dalam mengembangkan perniagaan melalui teknologi terkini.

"Inisiatif ini juga adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk menggalakkan digitalisasi menerusi Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia yang telah dilancarkan pada 19 Februari 2021 iaitu untuk mempromosikan program 'onboarding' pembayaran elektronik bagi peniaga dan pengguna untuk menjadi masyarakat tanpa tunai dan selaras dengan Pemacu Perubahan Ketiga (Pendigitalan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12).

"Bagi memastikan pelaksanaan ReDI ini tercapai, kementerian telah menjalinkan kerjasama erat dengan pelbagai agensi kerajaan termasuklah penyedia e-wallet utama menerusi program advokasi dan 'onboarding' pendaftaran e-wallet di seluruh negara.

"Kesemua pihak berganding bahu dengan matlamat yang sama iaitu untuk berkongsi sebanyak yang mungkin input berkaitan kemudahan e-wallet kepada peniaga-peniaga di luar bandar dan seterusnya membuat pendaftaran," katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) yang meminta kementeriannya menyatakan prospek pelaksanaan inisiatif pendigitalan sektor peruncitan yang memfokuskan kawasan luar bandar bagi meningkatkan pendedahan kepada peniaga berhubung keperluan perniagaan berkonsepkan digital pada masa kini.

Artikel Berkaitan: