Status Djokovic di Terbuka Australia masih samar

Novak Djokovic
Novak Djokovic
A
A
A

BINTANG tenis nombor satu dunia, Novak Djokovic bermungkinan tidak akan menyertai Terbuka Australia pada Januari depan berikutan peraturan wajib vaksinasi Covid-19.

Malah menurut bapa pemain dari Serbia itu, Srdjan Djokovic turut menyamakan peraturan tersebut sebagai satu bentuk pemerasan terhadap pemain berusia 34 tahun berkenaan.

"Sudah tentu dia mahu mengambil bahagian dalam kejuaraan berprestij kalendar tenis dunia itu dengan sepenuh hati.

“Oleh kerana dia seorang ahli sukan terkenal pastinya terdapat ramai orang Serbia, diaspora di sana yang akan gembira untuk melihat permainan Novak.

"Tetapi sejujurnya saya benar-benar tidak tahu sama perkara itu akan berlaku. Mungkin juga tidak dalam keadaan ini, dengan cara pemerasan dan apabila ia dilakukan dengan cara pendekatan itu," ujar Srdjan.

Pada masa sama, Srdjan turut mempertahankan hak eksklusif dan peribadi anaknya itu sama ada mengambil atau sebaliknya vaksinasi tersebut.

Djokovic yang mengintai kejuaraan Grand Slam ke-21 di Melbourne itu sebelum ini enggan menyatakan pendirian sama ada dia telah divaksin atau sebaliknya namun ketua penganjur kejuaraan Terbuka Australia, Craig Tiley terdahulu menegaskan bahawa semua pemain mesti disuntik vaksin Covid-19 untuk mengambil bahagian.

Malah Tiley minggu lalu mendedahkan bahawa Djokovic telah berkata bahawa dia melihat isu itu sebagai perkara peribadi.

Artikel Berkaitan:

"Sebenarnya kami ingin melihat Djokovic di sini. Dia tahu bahawa dia perlu diberi vaksin untuk bermain di sini," ujarnya.

Untuk rekod Djokovic merupakan juara Terbuka Australia sembilan kali, menyamai 20 kemenangan perseorangan Grand Slam dengan pesaing lama Rafael Nadal dan Roger Federer.

Djokovic sebelum ini positif Covid-19 semasa Siri Jelajah Adria di Balkan pada Jun 2020, namun menjelaskan dia tidak mengalami sebarang gejala.