Tertarik pulangan lumayan, wang simpanan RM16,600 lesap

Seorang penuntut di sebuah institusi pengajian tinggi kerugian RM16,600 selepas terbabit dalam pelaburan tidak wujud pada minggu lalu. - Gambar hiasan
Seorang penuntut di sebuah institusi pengajian tinggi kerugian RM16,600 selepas terbabit dalam pelaburan tidak wujud pada minggu lalu. - Gambar hiasan
A
A
A

KUANTAN - Gara-gara ingin meraih keuntungan berlipat kali ganda dalam masa singkat, seorang penuntut di sebuah institusi pengajian tinggi kerugian RM16,600 selepas terbabit dalam pelaburan tidak wujud pada minggu lalu.

Mangsa berusia 20 tahun berminat untuk melabur dalam pelaburan Cryto Trading selepas mengetahui akan memperolehi pulangan lumayan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa berminat membuat pelaburan sebanyak RM800 dan mendapat keuntungan RM7,000 dalam masa enam jam.

Menurutnya, susulan itu mangsa menekan pautan yang tertera di laman sosial tersebut dan berminat untuk melabur bagi mendapatkan keuntungan berganda.

"Mangsa kemudian menerima satu pesanan ringkas menerusi aplikasi WhatsApp daripada individu tidak dikenali untuk mendapatkan maklumat peribadi dan perbankan milik mangsa.

"Pada 24 hingga 26 November lalu, mangsa telah membuat dua transaksi ke dalam dua akaun yang berbeza berjumlah RM3,800. Selepas itu, mangsa memberikan kata laluan, nama pengguna dan kod pengesahan transaksi (TAC) bank miliknya kepada suspek," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau memaklumkan pada Sabtu lalu, mangsa telah membuat semakan baki akaun di mesin juruwang automatik (ATM) di bandar ini dan mendapati wang simpanan berkurangan sebanyak RM12,800.

"Mangsa seterusnya menghubungi pihak bank supaya menyekat nombor akuan miliknya dan tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.

Mohd Wazir berkata, modus operandi yang digunakan suspek dengan memperdaya mangsa dalam pelaburan tidak wujud sehingga mengakibatkan kerugian.