X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 17 Mei 2022

Pendigitalan sektor runcit antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

A
A

KUALA LUMPUR - Persoalan mengenai inisiatif pendigitalan sektor peruncitan yang memfokuskan kawasan luar bandar dijangka ditanya dalam sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut aturan urusan mesyuarat, soalan itu diajukan Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna yang mahu penjelasan bagi meningkatkan pendedahan kepada peniaga berhubung keperluan perniagaan berkonsepkan digital pada masa kini.

Turut terkandung dalam sesi itu soalan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) yang minta penjelasan dari Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkenaan kedudukan aduan-aduan oleh penghuni kondominium dan pangsapuri yang berjaya diselesaikan atau tidak diselesaikan oleh pesuruhjaya bangunan.

Ia termasuk dari segi bilangan, jenis aduan dan perbadanan pengurusan yang bermasalah.

Antara tumpuan lain termasuk soalan daripada Datuk Syed Abu Hussin (BN-Bukit Gantang) yang meminta Menteri Kesihatan menyatakan prosedur operasi standard (SOP) yang lengkap sebagai kesiapsiagaan dan peratusan ketersediaan kerajaan dalam proses melangkah ke fasa endemik Covid-19.

Pada masa sama, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa (PH-Parit Buntar) juga dijangka akan mengajukan soalan kepada Menteri Perpaduan Negara berkaitan usaha memperundangkan tindakan atau kata-kata kebencian antara kaum dan agama bagi memastikan hubungan damai berbagai kaum di negara ini.

Usai sesi itu, persidangan diteruskan dengan sambungan sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022) di peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli.

Dewan Rakyat bersidang hingga 16 Disember ini. - Awani


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!