Pereka fesyen Virgil Abloh meninggal dunia akibat kanser

Abloh merupakan pengarah artistik untuk pakaian lelaki Louis Vuitton. - Foto AP
Abloh merupakan pengarah artistik untuk pakaian lelaki Louis Vuitton. - Foto AP
A
A
A

PARIS - Pereka fesyen Virgil Abloh, yang digelar sebagai eksekutif fesyen tersohor oleh Karl Lagerfeld, meninggal dunia pada usia 41 tahun akibat kanser.

Berita pemergian Abloh diumum pada Ahad oleh kumpulan LVMH (Louis Vuitton Moet Hennessy) dan label Off-White yang diasaskan oleh Abloh pada 2013.

Abloh merupakan pengarah artistik untuk pakaian lelaki Louis Vuitton.

"Kami sangat terkejut apabila menerima berita sedih ini. Virgil bukan sahaja pereka fesyen tersohor, beliau juga seorang yang sangat baik dan berpandangan jauh," kata pengerusi dan Pegawai Eksekutif LVMH, Bernard Arnault dalam satu kenyataan.

Menurut keluarga Abloh, beliau disahkan mengidap cardiac angiosarcoma dua tahun lalu, barah di dalam jantung yang jarang berlaku.

Pada 2018, Abloh menjadi pengarah artistik berkulit hitam pertama dalam sejarah Louis Vuitton.

Mendiang merupakan warga Amerika Syarikat yang berasal dari Ghana dan belajar menjahit daripada ibunya.

Dengan kelulusan sarjana muda dalam bidang kejuruteraan serta ijazah sarjana dalam bidang seni bina, mendiang pernah menjalani latihan praktikal bersama penyanyi rap Kanye West atau Ye di LVMH Fendi.

Artikel Berkaitan:

Mendiang meninggalkan isteri, Shannon Abloh dan dua orang anak, Lowe dan Grey. - Awani