Suara sektor ketiga bersifat tidak berpihak

Dr Abdul Rahman Embong
Dr Abdul Rahman Embong
A
A
A

SHAH ALAM - Better Malaysia Assembly atau Himpunan Malaysia Yang Lebih Baik mampu menjadi sebahagian daripada suara sektor ketiga bersifat non-partisan atau tidak berpihak dari sudut parti politik yang mampu membawa kemajuan kepada negara.

Bekas Felo Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (Ikmas) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Emeritus Datuk Dr Abdul Rahman Embong berkata, himpunan tersebut bakal menjadi pelengkap untuk mengukuhkan sistem pentadbiran negara.

Beliau berkata, negara memerlukan perubahan sistem tadbir urus negara, institusi dan peranan parti politik serta hubungan Persekutuan dan negeri untuk reformasi Malaysia ke arah lebih baik.

“Perubahan yang ingin dibawa turut melibatkan daya saing dan keadilan ekonomi, soal rasuah dan integriti, kualiti pendidikan, perpaduan masyarakat berbilang kaum, agama, budaya dan wilayah serta hubungan antarabangsa berdasarkan prinsip berkecuali,” katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas lanjut, beliau berkata, persoalan atau perubahan yang ingin dibangkitkan bersifat menyeluruh dan cabaran itu perlu diatasi segera.

Ujarnya, untuk berbuat demikian, perlu wujud percambahan idea secara terus terang, mendalam dan berasaskan fakta daripada pemikir pelbagai sektor masyarakat yang boleh menyumbang ke arah pembentukan satu konsensus nasional baharu.

“Masa sangat penting. Jika tidak Malaysia akan terus berada dalam perangkap pendapatan menengah dan masih terkapai-kapai untuk menjadi negara maju serta makmur yang diidamkan.

“Justeru, apabila Tan Sri Mohamed Nazir Tun Razak dan kawan-kawan lain mengemukakan gagasan himpunan ini dan menjemput saya untuk berbincang, saya dapati tujuannya selaras dengan apa yang saya fikir dan tulis sebelum ini. Jadi saya bersetuju menyertainya,” jelas beliau.

Menurutnya, pembentukan murni itu menjadi satu wadah menghimpunkan para pemikir untuk berbincang pelbagai cabaran besar negara secara tertutup sebelum disampaikan kepada Parlimen dan dideliberasikan.

“Himpunan kami ini satu permulaan bagi melaksanakan demokrasi musyawarah sebagai suara sektor ketiga untuk dikemukakan idea-idea itu kepada Parlimen dan pemimpin negara.

Artikel Berkaitan:

“Saya harap dan percaya himpunan ini akan disusun dengan baik dan kemas, idea-idea dapat terus bercambah dan akan disokong oleh pelbagai pihak untuk mencapai hasrat bersama demi negara Malaysia yang lebih baik,” ujar Abdul Rahman.