Atasi isu ketirisan peruntukan rakyat, pelaksanaan DEB

DEB pada ketika ini memberikan kebaikan cuma kepada orang Melayu yang kaya tetapi gagal membela kebajikan rakyat. Gambar kecil: Dr Ahmed Razman Abdul Latiff
DEB pada ketika ini memberikan kebaikan cuma kepada orang Melayu yang kaya tetapi gagal membela kebajikan rakyat. Gambar kecil: Dr Ahmed Razman Abdul Latiff
A
A
A
SHAH ALAM - Isu ketirisan dan pelaksanaan dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB) perlu diatasi terlebih dahulu sekiranya mahu melihat masalah kemiskinan dan ketidaksamaan taraf dapat diatasi dalam kalangan rakyat terutama bumiputera di negara ini.

Penganalisis Ekonomi Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, peruntukan berbilion ringgit kepada agenda bumiputera yang diumumkan dalam bajet setiap tahun tidak sampai kepada golongan sasar.

Menurutnya, cadangan penubuhan dasar baharu juga mungkin akan mengundang hasil yang sama seperti DEB sekiranya isu ketirisan dan pelaksanaan tidak diatasi terlebih dahulu.

"Perkara paling utama untuk diperbaiki terlebih dahulu ialah ketirisan dalam peruntukan kepada rakyat. Ia menyumbang kepada banyak perkara terutama kepada garis kemiskinan dengan indeks Pekali Gini pada tahun lalu juga meningkat dari tahun 2019.

"Ini juga membuktikan isu ketidaksamaan harta, pendapatan dan isu rakyat miskin terus parah. Kalau dilihat dalam Bajet 2022, penerima Bantuan Keluarga Malaysia telah meningkat sehingga satu juta orang kepada 9.6 juta orang sekali gus menunjukkan makin ramai rakyat yang susah.

"Buatlah apa juga dasar baharu, kalau isu seperti pelaksanaan dan ketirisan ini tidak dapat diatasi maka sama sahaja dengan dasar-dasar yang diwujudkan sebelum ini," katanya kepada Sinar Harian.

Pekali Gini adalah kaedah paling popular mengukur ketaksamarataan pendapatan, yang mana nilai pekali Gini berada di antara 0 dan 1. Semakin kecil nilainya semakin saksama agihan pendapatan.

Pengerusi Ikhlas Capital, Tan Sri Mohamed Nazir Tun Abdul Razak dalam rancangan bual bicara ‘Eksklusif Bersama Nazir Razak: Apa ada dengan nama Nazir Razak’ sebelum ini mencadangkan kerajaan memperkenalkan dasar ekonomi versi baharu bagi menggantikan DEB.

Menurut Mohamed Nazir, DEB pada ketika ini memberikan kebaikan cuma kepada orang Melayu yang kaya tetapi gagal membela kebajikan rakyat.

Artikel Berkaitan:

Justeru, Ahmed Razman mencadangkan untuk mengatasi masalah ketirisan itu dengan sebarang laporan mengenai peruntukan terus dilaporkan kepada Parlimen untuk memastikan ruang penambahbaikan boleh dilakukan secara menyeluruh.

"Macam sekarang ini, kita ada Laksana (Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi antara Agensi Nasional) di bawah Kementerian Kewangan yang memantau segala peruntukan di bawah Pelan Fiskal Rangsangan. Namun, laporan itu hanya kepada Perdana Menteri.

"Jadi, apa yang kita nak sekarang adalah mana-mana agensi yang bertanggungjawab kena laporkan terus kepada Parlimen supaya semua orang tahu apa yang masih belum dilaksana, apa yang telah dilaksanakan dan apa impaknya.

"Malah, laporan itu bukan hanya tertumpu kepada berapa peratus peruntukan yang telah diagihkan, tetapi perlu ada kajian untuk melihat keberkesanan bantuan itu. Adakah ia beri manfaat kepada pendapatan, isi rumah atau gaji dan menjana pendapatan baru," katanya.