X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 26 Mei 2022

‘Tekan betul-betul, lanyak cukup-cukup'

Pemain KL City FC bersorak kegembiraan selepas berjaya mara ke final Piala Malaysia setelah menewaskan Melaka United FC di Stadium Hang Jebat Jumaat lalu. - Foto Bernama. Gambar kecil: Subadron Aziz
A
A

PENYANDANG juara, Johor Darul Ta’zim (JDT) diletakkan sebagai calon pilihan muncul juara Piala Malaysia menjelang aksi final menentang Kuala Lumpur (KL) City FC di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Selasa ini.

Bagaimanapun, KL City kendalian Bojan Hodak dilihat masih mempunyai keupayaan untuk menidakkan keampuhan JDT yang memburu kejuaraan Piala Malaysia buat kali kedua berturut-turut.

Bekas penyerang berbisa kebangsaan, Subadron Aziz berkata, skuad The City Boys harus beraksi sebagai satu unit pasukan jika berhasrat meleburkan impian JDT kali ini.

Malah, Subadron percaya tanpa semangat sepasukan agak sukar buat KL City untuk menewaskan skuad bimbingan Benjamin Mora itu yang cukup sempurna di setiap posisi.

“Sebelum perlawanan lagi, sudah ramai yang meletakkan JDT sebagai pilihan untuk muncul juara. Ya memang benar sebab JDT sebuah pasukan yang serba lengkap.

“Tetapi tidak mustahil JDT juga mampu dikalahkan dengan syarat semua pemain Kuala Lumpur ada semangat berpasukan serta disiplin yang tinggi apabila turun ke padang nanti.

“Alang-alang dah mara ke final, mereka perlu menang. Ini kerana kalau tak menang, orang tak pandang dan saya ini semua atas pengalaman saya sendiri apabila Kuala Lumpur tewas kepada Johor pada final Piala Malaysia 1985.

“Kali ini pun sama, bila dah masuk final, sasarannya mesti mahu jadi juara. Walaupun ada Harimau Selatan (JDT) di depan mata, kena fikirkan macam mana nak jinakkan harimau itu,” katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.

ARTIKEL BERKAITAN: KL City ke Bukit Jalil

JDT mara ke final Piala Malaysia

Terdahulu, The City Boys kembali melakar sejarah apabila mengakhiri penantian selama 32 tahun untuk melayakkan diri ke pentas final Piala Malaysia musim ini.

KL City mengesahkan kemaraan ke final selepas menyingkirkan Melaka United FC dengan kemenangan 5-3 menerusi penentuan sepakan penalti dalam aksi separuh akhir kedua di Stadium Hang Jebat Jumaat lalu.

Dalam pada itu, Subadron berharap aksi final Piala Malaysia kali ini tidak berlanjutan sehingga masa tambahan atau penentuan sepakan penalti.

“Jika boleh, cuba elakkan perlawanan akhir ini berlarutan sehingga masa tambahan kerana pada semua final (1987, 1988, 1989), Kuala Lumpur berjaya habiskan dalam tempoh 90 minit.

“Jadi semua pemain Kuala Lumpur diingatkan fokus sepanjang 90 minit perlawanan nanti. ‘Tekan’ betul-betul dan ‘lanyak’ cukup-cukup untuk mencapai kemenangan.

“Jika leka dan terpaksa main dalam masa tambahan 120 minit, mungkin pemain akan berdepan kesukaran. Jadi kalau boleh, habiskan dalam 90 minit,” ujar bekas bintang Kuala Lumpur itu.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!