Najib mohon keluarkan arahan larangan media, orang ramai

Najib
Najib
A
A
A

PUTRAJAYA - Datuk Seri Najib Tun Razak mahu mahkamah mengeluarkan arahan untuk memberitahu orang ramai dan media mengenai apa yang boleh dibincangkan dan disiarkan dan apa yang tidak boleh berhubung kes jenayah yang dihadapinya melibatkan dana SRC International Sdn Bhd , " Mahkamah Rayuan diberitahu.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib berkata, apa-apa kenyataan yang dibuat oleh orang ramai atau media yang menyentuh merit kes anak guamnya (Najib), boleh menimbulkan "subjudice” kepada Najib.

Beliau berkata mahkamah perlu melindungi integriti proses kehakiman di negara ini dan tidak membenarkan orang awam membincangkan atau membuat keputusan sendiri dalam kes itu.

"Mahkamah tidak boleh membenarkan orang ramai mengambil alih fungsi mahkamah," kata beliau ketika berhujah dalam rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 10 Ogos tahun lepas yang

menolak permohonan bagi perintah larangan ke atas media dan orang awam daripada membincangkan merit kes jenayah yang dihadapi Najib.

"Mahkamah harus mengeluarkan arahan itu oleh kerana Peguam Negara menyatakan bahawa tida siapa boleh memaksanya berbuat demikian (mengeluarkan makluman), " kata Muhammad Shafee ketika berhujah di hadapan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan.

Seorang lagi peguam mewakili Najib iaitu Harvinderjit Singh merujuk kepada kes terdahulu apabila sebuah mahkamah di Britain mengeluarkan garis panduan bagi media dalam bentuk nota makluman.

Beliau berkata tiada apa-apa penerbitan harus membuat kesimpulan atau andaian mengenai kebersalahan seseorang yang terlibat dalam kes.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata Hakim Mahkamah Tinggi telah menolak permohonan Najib untuk perintah larangan tetapi dalam penghakimannya menyentuh arahan yang diminta oleh Najib.

Beliau berkata mahkamah harus membenarkan rayuan Najib mengenai terma-terma yang dipinda berhubung arahan yang terkandung dalam alasan penghakiman hakim Mahkamah Tinggi.

Peguam Negara Tommy Thomas berhujah bahawa rayuan Najib pasti gagal kerana Mahkamah Tinggi tidak membuat apa-apa kesilapan fakta dan undang-undang.

Beliau berkata seseorang harus membaca penghakiman Mahkamah Tinggi secara keseluruhan dan tidak memetik dan memilih perenggan tertentu.

Pada 4 Julai tahun lepas, Anggota Parlimen Pekan berusia 66 tahun itu didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah dan satu tuduhan menyalahgunakan kedudukannya berhubung dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Pada 8 Ogos tahun lepas, Najib didakwa atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan jumlah yang sama.

Panel yang disidangi oleh Hakim Datuk Zabariah Mohd Yusof, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Lau Bee Lan awal hari ini mendengar rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib memohon surat pelantikan Datuk Sulaiman Abdullah bagi mengetuai pendakwaan dan rayuannya bagi mendapatkan beberapa dokumen dan kenyataan.

Prosiding mahkamah bersambung esok untuk mendengar hujah pihak pendakwaan berhubung rayuan Najib bagi mendapatkan beberapa dokumen.

Rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 7 Februari tahun ini untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan pendakwa raya menarik balik sijil bagi memindahkan kes dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi, juga akan didengar esok. - Bernama