X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 30 Jun 2022

DUN Johor tolak rundingan libat wakil pembangkang JTPD

Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada Ahad menolak rundingan mengenai cadangan penglibatan wakil rakyat pembangkang sebagai ahli Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah (JTPD). - Foto Bernama
A
A

ISKANDAR PUTERI - Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada Ahad menolak rundingan mengenai cadangan penglibatan wakil rakyat pembangkang sebagai ahli Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah (JTPD).

Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat memaklumkan seramai 28 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tidak bersetuju manakala 27 ADUN bersetuju setelah undian secara rahsia dijalankan selama dua minit.

Sebelum itu, Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad berkata, kerajaan negeri telah mendapatkan penjelasan kerajaan Persekutuan dan berdasarkan maklum balas daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri, kedudukan ADUN dalam JTPD adalah merujuk kepada ADUN di pihak kerajaan.

Beliau berkata, sejak persidangan DUN lepas, cadangan penglibatan wakil rakyat pembangkang dalam JTPD telah dibangkitkan dan susulan itu, pihaknya mengambil inisiatif mendapatkan penjelasan Kerajaan Persekutuan seperti Arahan No.1 (2020) daripada ICU Jabatan Perdana Menteri.

"Maklum balas daripada ICU Jabatan Perdana Menteri melalui surat bertarikh 18 November 2021 menyatakan bahawa buat masa ini, kedudukan ahli Parlimen dan ADUN dalam Majlis Tindakan Pembangunan Negeri dan JTPD seperti arahan No.1 2020.

"Menerusi arahan itu, dalam Mekanisme Penyelarasan Pelaksanaan Pembangunan Negara adalah merujuk kepada ahli Parlimen dan ADUN yang sama parti dengan kerajaan," katanya dalam ucapan penggulungan Belanjawan Johor 2022 pada hari terakhir Persidangan Keempat DUN Johor ke-14 di sini pada Ahad.

Bagaimanapun, Hasni berkata, atas semangat sebagai rakan strategik, kerajaan negeri berbesar hati menjemput semua ADUN Pakatan Harapan dalam mesyuarat JTPD sebagai pemerhati yang membawa maksud bahawa mereka akan dijemput hadir setiap kali mesyuarat JTPD.

"ADUN pembangkang juga boleh kemuka cadangan secara bertulis kepada pengerusi JTPD bagi daerah masing-masing. Malangnya, perbahasan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat sebelah sana tidak bersetuju sekiranya dijemput sebagai pemerhati malah mempersenda pemerhati sebagai pelawat.

"Oleh itu, kerajaan negeri tiada pilihan lain dan akan mengguna pakai Arahan No. 1 (2020) sepenuhnya," katanya.

Ketika membentangkan Belanjawan 2022 negeri pada 18 November lepas, beliau berkata, kesemua 56 ADUN termasuk pembangkang akan menerima peruntukan tetap RM200,000 setahun.

Katanya, kerajaan negeri juga bersetuju menjemput ADUN pembangkang menyertai mesyuarat JTPD sebagai pemerhati. -Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!