X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 21 Januari 2022

Skuad negara tekad beri tentangan sengit kepada Perancis

Wallace Tan. - Foto Bernama
A
A

SKUAD hoki remaja lelaki negara tekad memberi tentangan sengit kepada Perancis dalam usaha untuk memburu slot ke peringkat separuh akhir Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja (JWC) Lelaki 2021 di Bhubaneswar, India.

Menjelang saingan suku akhir menentang Perancis pada Rabu ini, Ketua Jurulatih Kebangsaan Wallace Tan berkata, anak buahnya akan tetap memberi cabaran hebat kepada lawan dari Eropah itu yang disifatkannya sebagai antara pasukan terkuat dalam saingan kali ini.

Dalam saingan Kumpulan B, Rabu lepas, Perancis mempamerkan aksi cemerlang apabila menundukkan juara bertahan, India 5-4.

“Perancis merupakan pasukan yang kuat kerana jika dilihat daripada kejayaan menewaskan India, mereka nampaknya mempunyai pemain yang bermutu tinggi namun kami akan memberi tentangan kuat kepada mereka nanti,” katanya dalam satu video yang dikongsi kepada media pada Ahad.

Malaysia mengesahkan tempat ke suku akhir selepas melakar kemenangan dramatik 4-3 ke atas Afrika Selatan dalam aksi terakhir Kumpulan A, pada Sabtu.

Kejayaan mara ke suku akhir pastinya melegakan kem negara selepas mereka menyasarkan untuk melepasi peringkat kumpulan sebelum kejohanan itu bermula pada 24 November lepas.

Skuad kebangsaan membuka tirai kempen Kumpulan A dengan langkah kanan apabila menang tipis ke atas Chile 2-1 (Rabu lepas) sebelum berjaya mengikat naib juara 2016, Belgium, 1-1, Jumaat lalu.

Malaysia menamatkan saingan di tangga kedua Kumpulan A dan berkongsi tujuh mata dengan juara Belgium, namun dipisahkan dengan perbezaan jaringan besar yang memihak kepada jaguh Eropah itu. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!