X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 28 Jun 2022

100 hari: Empat program JPM Hal Ehwal Agama lepas sasaran KPI

Idris Ahmad
A
A

KUALA LUMPUR - Program Musa'adah Tijariyyah 2.0 Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) merupakan antara empat program penanda aras pencapaian kejayaan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM).

Menterinya, Senator Idris Ahmad berkata, program berbentuk bantuan perniagaan sebanyak RM3,000 itu dilihat memberi impak positif kepada 1,000 usahawan asnaf yang kekurangan modal atau ingin mengembangkan perniagaan di Wilayah Persekutuan.

Program yang diperkenalkan sejak Mac 2021 itu telah melepasi sasaran petunjuk prestasi utama (KPI) iaitu 700 individu, sekali gus mempamerkan kesungguhan pihaknya dalam membantu golongan asnaf keluar daripada tampuk kemiskinan.

“Kita memperuntukkan RM3 juta untuk tujuan ini. Jadi ini bukanlah bantuan berbentuk pinjaman atau geran. Ia bukanlah bantuan jangka pendek, malah membantu mereka meningkatkan taraf hidup dalam jangka panjang,” katanya selepas siaran Buletin Bernama, terbitan Bernama TV di sini, pada Ahad.

Mengulas lanjut, sepanjang 100 hari pentadbiran jabatannya juga, Idris berkata, seramai 47 asnaf telah menerima manfaat dari Program MyHaus Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dengan keseluruhan berjumlah kira-kira RM2.35 juta.

“Dalam projek ini, KPI yang telah saya sasarkan sebelum ini kepada Perdana Menteri adalah 45 rumah dan ia berjaya melepasi sasaran apabila kita memperuntukkan bantuan kira-kira RM50,000 bagi setiap rumah dengan kriteria penerimanya terdiri daripada kalangan peniaga kecil-kecilan,” katanya.

Idris yang juga muka baharu dalam Kabinet pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, selain itu, pencapaian Program Inspirasipreneur YaPIEM turut wajar diberi perhatian kerana setakat 1 September hingga 9 Disember ini, seramai 8,387 peserta atau 97.35 peratus telah berjaya dikesan daripada sasaran 8,600 peserta untuk ditransformasikan.

Selain itu, katanya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah berjaya memperkasakan industri Pensijilan Halal Malaysia apabila berjaya menyelesaikan 104 atau 75 peratus daripada 168 permohonan sijil pengesahan halal Malaysia dalam tempoh 30 hari bagi permohonan yang tidak mempunyai teguran audit.

Dalam pada itu, Idris berkata, terdapat 208 program telah dirancang 14 agensi di bawah kementerian merangkumi lima strategi ‘Inisiatif Mantap’ yang memberi fokus dalam pelaksanaan dasar dan program ke arah membawa keluar Keluarga Malaysia daripada kesempitan hidup akibat pandemik Covid-19.

Inisiatif berorientasikan program (program oriented) dan turun padang itu selari dengan saranan Perdana Menteri bahawa fokus utama kerajaan adalah untuk menjaga kebajikan rakyat agar segera keluar daripada kemelut kesihatan dan ekonomi.

“Sehingga kini sebanyak 137 program atau 66 peratus telah selesai dilaksanakan manakala selebihnya 69 program dijangka selesai sebelum 9 Dis ini,” katanya. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!