Biar masa tentukan hubungan UMNO-Pas

Mahdzir ketika berucap merasmikan majlis penyerahan buku dan topi keledar sumbangan Yayasan Perintis Malaysia di Pejabat Pendidikan Daerah Padang Terap pada Ahad.
Mahdzir ketika berucap merasmikan majlis penyerahan buku dan topi keledar sumbangan Yayasan Perintis Malaysia di Pejabat Pendidikan Daerah Padang Terap pada Ahad.
A
A
A

PADANG TERAP - Biar masa yang menentukan sama ada UMNO dan Pas mampu bergandingan di bawah Muafakat Nasional untuk berdepan saingan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, agak sukar untuk meramal apa yang akan berlaku pada masa depan memandangkan dunia politik tertakluk kepada ‘seni dalam segala kemungkinan’ (art of possibility).

Menurutnya, tiada yang mustahil dalam politik dan apa jua kemungkinan juga boleh berlaku kelak.

“Tak mustahil perkara yang kita rasakan tidak akan terjadi, boleh jadi kenyataan dan begitu juga sebaliknya. Semua pihak perlu terbuka untuk menerima segala kemungkinan berhubung perkara itu pada masa akan datang,” katanya ketika sidang akhbar selepas penyerahan buku dan topi keledar sumbangan Yayasan Perintis Malaysia di Pejabat Pendidikan Daerah Padang Terap pada Ahad.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Padang Terap itu berkata, kemungkinan kedua-dua pihak boleh merujuk pandangan dari luar parti berhubung kepimpinan masing-masing.

“Kalau tengok kepada kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan sesetengah kepimpinan UMNO sendiri, nampaknya seolah-olah Muafakat Nasional itu sudah tiada.

“Tetapi, segala kemungkinan ini macam-macam boleh jadi dan masa akan menentukan. Kalau tidak ada gandingan pada PRU15, nak buat macam mana, kalau ada, kita terimalah,” katanya.

Menurutnya lagi, setakat ini, tiada kata putus berhubung perkara itu untuk berdepan PRU15 dan meminta semua pihak menyerahkan kepada faktor masa.

Artikel Berkaitan:

Kebelakangan ini, hubungan antara UMNO dan Pas bawah Muafakat Nasional menjadi tanda tanya berikutan kedua-dua parti itu tidak bersama dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.