X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 19 Januari 2022

PRU15: Capaian internet di luar bandar cabaran Bersatu

Ronald ketika merasmikan Persidangan Tahunan Bersatu Bahagian Beluran di Beluran.
A
A

BELURAN - Kesukaran capaian internet di kawasan luar bandar khususnya di Beluran antara cabaran dihadapi jentera Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk berkempen menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang.

Bagaimanapun, Ketua Bahagian Bersatu Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, dalam keadaan pandemik ini sebagai pemimpin dan ahli parti sudah pasti jentera akan mencorakkan kempen dalam bentuk baharu bagi menghadapi PRU nanti.

Mengambil contoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini, Ronald berkata, kempen terbatas disebabkan prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Dalam keadaan itu tentu sekali kempen corak baharu melalui media sosial dan dalam talian merupakan pilihan yang berkesan untuk berhadapan dengan pilihan raya.

"Di Beluran, walaupun itu juga perlu diamalkan tetapi tentu sekali kita mempunyai cabaran tertentu dari segi capaian internet dan tentang kesediaan pengundi berada di luar bandar atau pelosok kampung yang sudah tentu berhadapan dengan suasana kempen corak baharu ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Tahunan Bersatu Bahagian Beluran di sini pada Ahad.

Sehubungan itu, Ronald yang juga Naib Presiden Bersatu mengajak ahli parti supaya bersiap sedia ke arah kempen corak baharu.

"Sebagai pemimpin dan ahli parti, kita mampu untuk mencorakkan kempen bentuk baharu dan harus guna pakai apa saja platform yang sedia ada untuk mendapatkan sokongan yang diperlukan untuk parti dalam pilihan raya akan datang.

"Kempen yang lebih inovatif perlu dipraktikkan pada setiap jentera parti bukan saja Bersatu tetapi semua parti yang bertanding berhadapan dengan cabaran sama. Era kempen dalam talian ini perlu diberi perhatian oleh semua jentera parti," katanya.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan keahlian Bersatu Beluran semakin meningkat ketika ini dan keahlian dijangka terus bertambah.

"Setakat ini kita ada 8,000 lebih ahli parti melalui 104 cawangan dan ia tentu akan bertambah.

"Jentera parti akan terus bekerja di bawah untuk menarik lebih ramai pengundi di kawasan Beluran ini untuk bersama-sama berjuang dengan Bersatu," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!