Dua ADUN PN tidak duduk dalam kerajaan

Dr Mohd Yadzil Yaakub, Dr Aleef Yusof
Dr Mohd Yadzil Yaakub, Dr Aleef Yusof
A
A
A

IPOH - Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) yang menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sabtu lalu tidak berada dalam kedudukan sebagai kerajaan negeri.

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, dua wakil rakyat berkenaan, Dr Mohd Aleef Yusof (ADUN Sungai Udang) dan Dr Mohd Yadzil Yaakub (ADUN Bemban) kekal sebagai ADUN biasa.

Menurutnya, meskipun tidak berada dalam barisan kerajaan, kedua-dua wakil rakyat itu akan tetap memberi sokongan dan suara khususnya dalam pelaksanaan dasar-dasar kerajaan negeri.

"Mereka ADUN biasa, tetapi sebagai wakil rakyat mereka ada tanggungjawab untuk bersuara bagi rakyat Melaka.

"Dasar yang baik, perlu beri sokongan, juga bersuara jika ada perkara tidak baik yang burukkan kerajaan negeri.

"Saya telah beri nasihat kepada mereka berdua untuk lunaskan amanah dengan memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat, itu fokus utamanya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Derma Darah Perak Food Bank bersama Kiwanis Jelapang di Dewan Serbaguna Kampung Tersusun Tawas Tambahan, di sini pada Ahad.

Beliau berkata, PN telah memberi jaminan untuk terus memberi kerjasama sebaiknya kepada kerajaan baharu Melaka yang diterajui Barisan Nasional (BN) demi kepentingan rakyat.

Katanya, pada masa ini, semua ADUN yang menang dalam pilihan raya itu perlu meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan berbanding perbalahan politik.

Artikel Berkaitan:

"Tak perlu bergaduh dengan sesiapa. Hentikan politiking. Kerajaan Melaka telah ditubuhkan, keputusan juga sudah dibuat.

"Kita boleh beri kerjasama demi kepentingan rakyat, itu yang lebih penting," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, dua ADUN Bersatu itu dikatakan tidak bersedia untuk duduk di kerusi pembangkang bersama lima lagi ADUN Pakatan Harapan (PH) selepas BN menang PRN Melaka.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan yang mengulas perkara itu berkata, tidak ada keperluan untuk membawa bersama dua wakil rakyat PN dalam pembentukan kerajaan negeri Melaka.

ARTIKEL BERKAITAN:PN tak pernah minta jawatan untuk dua ADUN Melaka

ARTIKEL BERKAITAN:'Saya wakil rakyat semua pengundi Sungai Udang'