Maut dalam perjalanan ziarah ibu meninggal dunia

Keadaan kereta mangsa selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Air Sejuk, Setiu pada Ahad. Foto: Ihsan polis
Keadaan kereta mangsa selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Air Sejuk, Setiu pada Ahad. Foto: Ihsan polis
A
A
A

SETIU – Hasrat seorang wanita ingin pulang ke kampung halaman di Kelantan untuk menziarahi ibunya yang meninggal dunia tidak kesampaian apabila terbunuh dalam kemalangan jalan raya di Jalan Air Sejuk, di sini pada Ahad.

Mangsa, Nadia Fizatul Hanim Zamani, 23, yang berasal dari Pulau Chondong, Kelantan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, suaminya yang memandu kenderaan, Muhamad Nazirul Rameli, 23, dilaporkan cedera dan dirawat di Hospital Setiu.

Menurut Afandi, kejadian berlaku pada jam 7.15 pagi ketika pasangan suami isteri yang menaiki kenderaan Perodua Kancil itu dalam perjalanan pulang dari Johor ke Kelantan.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta yang dipandu suaminya hilang kawalan dan terbabas ke bahu kiri jalan. Mangsa yang duduk di tempat duduk penumpang bahagian depan tercampak keluar dari kereta.

“Mangsa cedera parah di kepala dan anggota paramedik yang tiba untuk bantuan kecemasan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi pada Ahad.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Setiu untuk tindakan lanjut manakala suaminya dirawat di hospital sama.

Sementara itu, Afandi turut menasihati pemandu supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu di jalan raya bagi mengelak kecelakaan terutamanya dalam keadaan cuaca tidak menentu sekarang.

Artikel Berkaitan:

“Sekarang musim hujan, jadi keadaan jalan licin dan ada lopak air yang boleh menyebabkan kenderaan mudah terbabas. Jadi, saya harap pemandu lebih berhati-hati supaya tiba ke destinasi dengan selamat,” katanya.