Pas tidak putus asa satukan parti politik Melayu

Ahmad Samsuri
Ahmad Samsuri
A
A
A

MARANG – Pas tidak pernah berputus asa dalam usaha menyatukan parti politik yang berteraskan orang Melayu dan Islam di negara ini dalam pelbagai bentuk hubungan termasuk kerjasama politik.

Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, tiada istilah kecil hati dalam perjuangan tersebut sebaliknya Pas sentiasa berjiwa besar meneruskan agenda penyatuan ummah yang dihasratkan.

“Pas berjiwa besar dan boleh membawa rakyat, orang Melayu serta Islam supaya bersatu padu dan bekerjasama agar hidup lebih harmoni.

“Saya optimis kalau kita berusaha, semua pihak boleh duduk berunding dan berbincang ke arah kerjasama,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan bantuan persekolahan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang di Dewan Majlis Daerah Marang di sini pada Ahad.

Sementara itu, Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, perbincangan menyuburkan Muafakat Nasional (MN) akan berdepan kesukaran sekiranya masih ada pihak yang terus bersikap seolah-olah ‘abang long’.

“Kalau sentiasa jadi ‘abang long’ susahlah, Pas sangat terbuka kerana objektif kita besar iaitu ke arah muafakat politik seluruh parti berteraskan orang Melayu dan Islam supaya kita dapat bekerjasama dalam pelbagai bidang,” katanya.

Ahmad Samsuri sebelum ini mendedahkan sikap 'abang long' yang ditonjolkan oleh pemimpin tertinggi parti menyebabkan tiga parti iaitu Pas, UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) gagal membentuk kerjasama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Menurutnya, ia berdasarkan penglibatan beliau secara langsung di dalam siri rundingan bagi membentuk kerjasama tiga parti tersebut dalam PRN Melaka.

Artikel Berkaitan: