'Tangani kenaikan harga barang secara kolektif'

Khairil Nizam Khirudin
Khairil Nizam Khirudin
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Ketua Penerangan Pas, Senator Ir Khairil Nizam Khirudin menggesa kerajaan menggabungkan agensi dan kementerian bagi menangani isu kenaikan harga barang yang mendadak secara kolektif.

Menurutnya, isu kenaikan harga barang tidak hanya tertumpu di bawah tanggungjawab Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sahaja.

Beliau menyarankan kementerian yang boleh bekerjasama menyelesaikan isu tersebut ialah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) supaya lebih banyak inisiatif serta tindakan penguatkuasaan bersepadu dapat dirangka dan dilaksanakan.

“Anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) juga dapat digerakkan untuk membantu dari segi pemantauan.

“Kerajaan terutama melalui MOF diharapkan dapat menambah subsidi dan memberi geran serta menawarkan pinjaman tanpa faedah sebagai insentif jangka panjang yang berterusan terhadap petani, penternak, peladang, nelayan serta pihak-pihak lain di bawah MAFI yang menjadi pemain utama dalam rantaian barangan keperluan kepada para pengguna,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Ahad.

Khairil Nizam berkata, KPDNHEP dan agensi di bawah KDN juga boleh bekerjasama untuk terus memantau dan menguatkuasakan tindakan mengekang rapat kemungkinan manipulasi, monopoli, sorok barang, pencatutan, penyeludupan dan sebagainya.

Beliau berharap kerajaan dapat menumpukan strategi untuk mengurangkan pergantungan sumber makanan kepada negara luar yang masih berterusan melalui kawalan pasaran keperluan pengguna dalam negara.

“Ia dapat dilakukan melalui peranan kementerian lain yang fungsinya dapat menyumbang bagi mengatasi masalah kenaikan harga barang dan makanan.

Artikel Berkaitan:

“Kesejahteraan Keluarga Malaysia perlu diutamakan kerana masih ramai rakyat yang terkesan dengan pandemik Covid-19 dan tidak mampu menerima kenaikan mendadak harga barang,” ujarnya.