Rosakkan kereta wanita, suami isteri antara diberkas

No Image Caption
A
A
A

KUALA LANGAT - Sepasang suami isteri antara empat individu yang diberkas dipercayai mengugut dan merosakkan kereta milik seorang wanita dalam kejadian di Jalan Parit A, Kampung Tumbok Darat, Tanjung Sepat di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, mangsa bersama seorang anaknya menaiki sebuah kereta melalui lokasi kejadian sebelum ditahan oleh sekumpulan individu yang menaiki sebuah kereta dan motosikal.

"Mangsa mendakwa, kereta miliknya telah ditumbuk dengan tangan dan salah seorang daripada suspek telah menggunakan sebatang kayu lalu memukul kereta mangsa dan bertindak memecahkan cermin kereta mangsa.

"Kejadian tersebut mengakibatkan mangsa berasa takut dan terancam sehingga anak lelaki mangsa yang berumur lima tahun menangis ketakutan," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati perselisihan faham antara mereka berpunca daripada satu hantaran mangsa di media sosial Tik Tok, Boikot Anti Vaksin terutama peniaga sate”.

"Sebelum ini, mangsa pergi ke rumah salah seorang suspek untuk memujuk supaya mengambil suntikan vaksin buat ibu mertua suspek, bagaimanapun mereka telah menolak.

"Suspek dipercayai tidak berpuas hati dan tersinggung dengan hantaran yang dimuat naik mangsa serta bertindak menyerang mangsa bersama ahli keluarga suspek lain," katanya.

Menurut beliau, ketika kejadian mangsa dan anaknya tidak mengalami sebarang kecederaan.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun, kereta mangsa mengalami kerosakan iaitu kemek di bahagian bonet, belakang dan sebelah pemandu manakala cermin kereta mangsa tidak pecah," katanya.

Tambah beliau, polis kemudiannya memberkas empat individu yang dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut kira-kira jam 9 malam pada Khamis.

"Seorang lelaki dan tiga wanita diberkas di sebuah rumah di Jalan Besar Kampung Tumbuk Darat Tanjung Sepat dengan sebatang rotan kayu turut dirampas.

"Kesemua suspek yang diberkas berumur antara 21 hingga 49 tahun terdiri daripada suami, isteri dan dua anak perempuan," katanya.

Kes disiasat dibawah Seksyen 506/ 427 Kanun Keseksaan.