Tindakan tegas jika bakar pokok di pantai, taman awam

Hamdan meninjau pokok tumbang dengan kesan terbakar pada pangkalnya yang dikekalkan sementara sebagai 'tugu' peringatan di Pantai Sepat, Kuantan.
Hamdan meninjau pokok tumbang dengan kesan terbakar pada pangkalnya yang dikekalkan sementara sebagai 'tugu' peringatan di Pantai Sepat, Kuantan.
A
A
A

KUANTAN- Tindakan tegas termasuk kompaun akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang didapati sengaja membakar atau merosakkan pokok di persekitaran pantai dan taman-taman awam di daerah ini.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Datuk Hamdan Hussin berkata, ia berikutan pokok-pokok itu merupakan aset majlis dan tidak boleh dirosakkan sesuka hati.

Menurutnya, tindakan lebih tegas perlu diambil melalui peruntukan undang-undang sedia ada bagi memberi kesedaran kepada masyarakat terhadap tanggungjawab mereka menjaga pokok dan kelestarian alam sekitar.

"Kita dapati ada dalam kalangan pengunjung beberapa pantai di daerah ini membakar pangkal pokok bagi tujuan memasak atau barbeku.

"Akibat perbuatan tidak bertanggungjawab itu, sebatang pokok Rhu dengan kesan terbakar pada pangkalnya telah tumbang di Pantai Sepat pada 12 Oktober lalu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Kempen Sayangi Pokok ' Selamatkan Pokok Kita' di Pantai Sepat di sini pada Ahad.

Hamdan berkata, beberapa batang pokok di pantai itu turut terdapat kesan terbakar pada pangkalnya dan kejadian serupa juga berlaku di pantai-pantai lain.

"Perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana pihak majlis telah menyediakan tempat memasak atau barbeku ini di Pantai Sepat namun masih ada segelintir pengunjung membakar makanan di pangkal-pangkal pokok.

Artikel Berkaitan:

"Jika sebelum ini kita lebih kepada memberi nasihat dan teguran namun selepas kejadian pokok dibakar hingga tumbang ini, tindakan lebih tegas akan diambil dan ia mungkin dilaksanakan selepas kempen ini," katanya.

Hamdan (kanan) menandatangani gegantung yang disediakan sebagai tanda sokongan kepada Kempen Sayangi Pokok ' Selamatkan Pokok Kita' yang diadakan di Pantai Sepat, Kuantan pada Ahad.
Hamdan (kanan) menandatangani gegantung yang disediakan sebagai tanda sokongan kepada Kempen Sayangi Pokok ' Selamatkan Pokok Kita' yang diadakan di Pantai Sepat, Kuantan pada Ahad.

Menurutnya, pokok yang tumbang di Pantai Sepat itu dikekalkan sementara sebagai 'tugu' peringatan bukti kejadian dan kesan akibat tindakan pihak-pihak tidak bertanggungjawab.

"Selain itu pihak MBK akan meningkatkan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan bagi memastikan pokok-pokok teduhan di kawasan pantai dan taman awam sentiasa terjaga.

"Kita kena ingat, pokok-pokok ini berfungsi sebagai lindungan semula jadi dan zon penampan, sebagai benteng untuk memecah, menahan dan mengurangkan kesan pukulan ombak laut yang boleh menyebabkan hakisan.

"Pokok-pokok perlu dipelihara dan bukan dirosakkan kerana perbuatan itu akan menjejaskan keindahan pantai dan boleh menimbulkan ancaman kepada pengunjung," katanya.

Tambah beliau, setakat ini MBK telah menanam sebanyak 4,000 pokok di sekitar Pantai Sepat, Pantai Balok, Pantai Cempaka dan Pantai Kempadang melalui peruntukan RM40,000 dari Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP).

Pada kempen itu, turut didirikan papan tanda yang memaparkan detik pekerja pembersihan memadam kebakaran berlaku sebelum pokok tersebut tumbang.

Melalui kempen itu juga semua pokok-pokok di sekitar Pantai Sepat turut dipasang tag 'Selamatkan Pokok Kita' manakala satu gegantung disediakan bagi mengumpul tandatangan pengunjung sebagai sokongan kepada kempen tersebut.