Indeks jenayah Johor menurun 40 peratus

 Ayob Khan - Foto Bernama
Ayob Khan - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Indeks jenayah di negeri ini menurun sehingga 40 peratus atau mencatatkan pengurangan sebanyak 2,469 kes sejak Januari hingga bulan lalu berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, penurunan dalam tempoh 10 bulan pertama tahun itu melibatkan 3,707 kes berbanding 6,176 kes pada tempoh sama tahun sebelumnya.

Beliau memberitahu, indeks jenayah itu melibatkan jenayah kekerasan, harta benda, curi motosikal, pecah rumah dan samun berkawan tanpa senjata api.

"Jenayah kekerasan menunjukkan penurunan sebanyak 355 kes iaitu 31 peratus, jenayah harta benda pula merekodkan 2,114 kes atau 42 peratus dan curi motosikal mencatatkan 1,062 kes atau 51.7 peratus," katanya berucap pada Program Town Hall Discussion di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di sini pada Ahad.

Menurutnya, bagi jenayah pecah rumah merekodkan penurunan 762 kes (27.2 peratus) manakala kes samun berkawan tanpa senjata api pula sebanyak 223 kes (42.5 peratus),"

Tambah beliau, bagi tempoh yang sama juga Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor mencatatkan tangkapan kedua tertinggi keseluruhan di Malaysia dengan seramai 11,461 tangkapan membabitkan 9,766 kes.

Selain itu, Ayob Khan memberitahu, lima makmal haram dadah dan enam stor penyimpanan dadah berjaya dibongkar dengan nilai rampasan dadah keseluruhan berjumlah RM372.46 juta bersamaan 11,957.11 kilogram dadah.

Katanya, hasil operasi sepanjang tempoh itu, sebanyak 17 kumpulan sindiket dadah berjaya ditumpaskan manakala 108 ahli sindiket ditangkap.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Ayob Khan turut memaklumkan, pihaknya akan menyiasat dakwaan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) bahawa Landskap Sungai Segget serta kerja naik taraf Jalan Wong Ah Fook di bandar raya ini yang sudah memasuki fasa akhir diganggu 'abang kawasan'.

Timbalan Presiden IRDA, Ahmad Faizal Ismail dalam sesi soal jawab pada program tersebut berkata, perkara berkenaan sudah berlaku sejak awal projek tersebut dijalankan tiga tahun lalu namun semakin kerap setelah hampir siap.

Katanya, masalah itu dilalui oleh pihak subkontraktor yang menjalankan kerja-kerja mengindahkan kawasan itu setelah 'abang kawasan' datang meminta duit untuk perlindungan dan sagu hati.

"Mereka tahu projek yang dilakukan IRDA ini sangat strategik dan terletak di tengah-tengah bandar Johor Bahru. Oleh itu, mereka cuba mengambil kesempatan terhadap projek tersebut," katanya.