KBBM lonjak jenama tempatan hingga ke luar negara

Nor Fadilah menunjukkan sebahagian produk mangkuk tingkat eksklusif yang dipamerkan pada Karnival Kempen Beli Barangan Malaysia Peringkat Kebangsaan 2021 yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Perdangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid di Dataran Chenang baru-baru ini.
Nor Fadilah menunjukkan sebahagian produk mangkuk tingkat eksklusif yang dipamerkan pada Karnival Kempen Beli Barangan Malaysia Peringkat Kebangsaan 2021 yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Perdangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid di Dataran Chenang baru-baru ini.
A
A
A

KEMPEN Beli Barangan Malaysia (KBBM) yang dilaksanakan kerajaan secara berterusan saban tahun, membantu pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS) tempatan melonjakkan jenama produk mereka hingga ke luar negara.

Perkara itu diakui pengasas syarikat keusahawanan sosial, JEIWA Global Resources Nor Fadilah Mohamed Nizar, 39, yang menghasilkan produk mangkuk tingkat eksklusif dan mendapat permintaan amat menggalakkan daripada pembeli dari Singapura, Brunei, Indonesia, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

“Kempen yang dijalankan kerajaan seperti KBBM atau Program Jualan Malaysia (PJM) banyak membantu kami dalam memperkenalkan produk terutama ketika mula beroperasi beberapa tahun lalu. Kini produk kami kian dikenali sama ada di dalam mahupun luar negara.

“Produk kami yang dikenali sebagai Tiffin Jeiwa turut dipilih untuk dipamerkan di Expo Dubai 2020 dan merupakan pencapaian terbaik syarikat kami setakat ini. Saya mengucapkan terima kasih kepada pelbagai agensi kerajaan yang membantu kami untuk sampai ke tahap ini,” katanya baru-baru ini.

Beliau juga mencadangkan agar kempen itu dipergiatkan dan program jualan produk tempatan dilaksanakan dengan lebih kerap di lokasi strategik tumpuan pelancong agar IKS tempatan dapat mempromosi serta memperluaskan lagi pasaran produk mereka.

Nor Fadilah yang juga pengasas dan presiden pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Persatuan Pemerkasaan Wanita Intelektual Johor (JEIWA) berkata, JEIWA Global Resources ditubuhkan pada 2017 dengan menghasilkan produk berasaskan kraf tangan dan pada masa sama membantu golongan wanita menjana pendapatan.

“Kita mula menjual mangkuk tingkat yang dihiasi lukisan tangan pada 2018 dan golongan wanita boleh menyertai kita sebagai ejen jualan atau pemasaran bagi meraih pendapatan,” katanya.

Beliau berkata, syarikatnya mendapat kerjasama pelbagai agensi kerajaan termasuk Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Artikel Berkaitan:

“Kita juga bekerjasama dengan beberapa rakan strategik tempatan untuk menempatkan produk di premis mereka sama ada untuk dijual atau dijadikan hiasan. Terdapat beberapa hotel yang menggunakan produk kami sebagai hiasan,” katanya yang memberitahu menerima tempahan sekitar 1,000 unit Tiffin Jeiwa setiap bulan.

KBBM 2021 dilancarkan Timbalan Menteri KPDNHEP, Datuk Rosol Wahid di Dataran Chenang, di sini, baru-baru ini yang merupakan platform dalam penjenamaan bagi meningkatkan keyakinan pengguna terhadap produk tempatan. -Bernama