X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 07 Julai 2022

Polis cari enam lelaki bantu siasatan kes bunuh

Gambar hiasan
A
A

PASIR PUTEH - Polis sedang mencari enam lelaki termasuk dua remaja bagi membantu siasatan kes bunuh seorang warga asing, yang mayatnya ditemukan di jeti pendaratan ikan Tok Bali, di sini, 4 November lepas.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, polis telah menahan enam suspek kes itu dan sedang berusaha mengesan enam lagi, yang berumur antara 17 hingga 28 tahun dan berasal dari Kampung Haji Wan Omar, Semerak, di sini.

Beliau berkata, enam yang sedang dicari terdiri daripada Muhammad Zulkpile Udin, 28, Muhamad Nazri Yusoff, 25, Mohamad Farhiman Ismail, 22, Muhamad Mustaqimiey Abdul Jais, 19, serta dua remaja lelaki berusia 17 tahun.

"Orang ramai yang mengenali mereka diminta menyalurkan maklumat ke balai polis terdekat bagi membantu siasatan," katanya ketika sidang akhbar selepas Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh, di sini, pada Ahad.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa dicederakan sekumpulan lelaki selepas dituduh cuba menceroboh masuk sebuah premis perniagaan.

"Dalam kejadian itu, mayat mangsa ditemukan dalam keadaan terlentang dengan kakinya diikat pada tali selain terdapat kesan koyak pada kepala serta kecederaan lain dipercayai dipukul beramai-ramai sebelum mayat dibuang di jeti pendaratan ikan di Tok Bali," katanya.

Shafien sebelum itu menyaksikan majlis serah menyerah tugas antara Superintendan Mohd Azmir Damiri dengan Deputi Superintendan Ediansha Endal.

Mohd Azmir akan bertugas sebagai Ketua Polis Daerah Tumpat manakala Ediansha menggantikan Azmir sebagai Ketua Polis Daerah Pasir Puteh. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!