X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 27 Januari 2022

Pelan Tindakan Perpaduan Negara berasaskan pandangan akar umbi

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kiri) menunjukkan buku Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 dan Kami @ Pelan Perpaduan Keluarga Malaysia 2021-2025 ketika Majlis Pelancaran di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 dan KAMI @Pelan Perpaduan Keluarga Malaysia 2021-2025 yang dilancarkan pada Ahad, dirangka berdasarkan kajian sebenar yang mengambil kira pandangan masyarakat akar umbi dan pemimpin masyarakat setempat.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, sebagai pelan induk program perpaduan, Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 menggariskan 57 program bagi mencapai lima teras strategik yang ditetapkan.

Lima teras strategik berkenaan adalah memelihara sistem demokrasi Raja Berperlembagaan; membentuk masyarakat yang menghargai dan mengamalkan perpaduan; memperkasakan sosio-ekonomi yang adil dan saksama; menjamin keterbukaan dan toleransi terhadap perbezaan agama dan tradisi kebudayaan; dan membina masyarakat progresif melalui sains, teknologi dan inovasi.

“Kejayaan atau keberhasilan pelan ini adalah bergantung kepada kerjasama merentasi kementerian dan agensi, badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak swasta, yang akan terlibat sama dalam merealisasikan apa yang telah kita rancang, dari kementerian ke komuniti, dari pucuk sehingga ke akar umbi masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada majlis pelancaran serentak Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 dan KAMI @Pelan Perpaduan Keluarga Malaysia 2021-2025 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, pelan pelaksanaan iaitu KAMI @Pelan Perpaduan Keluarga Malaysia 2021- 2025 yang menggariskan program-program dan inisiatif untuk dilaksanakan oleh Kementerian Perpaduan Negara dalam tempoh lima tahun (2021-2025) dibangunkan itu juga adalah bagi memupuk semangat Keluarga Malaysia

Katanya, pelan berkenaan akan berteraskan kepada Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 bagi mencapai aspirasi Keluarga Malaysia yang bersatu padu, harmoni dan makmur.

“Dengan terhasilnya Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 dan KAMI @Pelan Perpaduan Keluarga Malaysia 2021-2025, maka lengkaplah dokumen Dasar Perpaduan Negara yang menjadi payung kepada pelan-pelan pelaksanaan agenda perpaduan nasional,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kelangsungan masyarakat dan negara amat bergantung kepada rakyatnya sebagai Keluarga Malaysia untuk mengekalkan kesepaduan sosial.

“Walaupun ramai yang mungkin tertanya-tanya apakah formula kejayaan negara kita? Semangat menghormati satu sama lain, berbincang bila ada perbezaan pandangan, dan terus menerus berunding mencari jalan tengah untuk menyelesaikan sebarang perbalahan, menjadi ‘formula’ terbaik kepada ketahanan kesepaduan kita.

“Semangat Keluarga Malaysia inilah yang menjadi tulang belakang kepada kepelbagaian kita, menjadi tulang belakang kepada keharmonian kita dan juga menjadi tulang belakang kepada kegemilangan tanah air kita,” katanya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!