X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 19 Januari 2022

Cuepacs gesa kerajaan tunai janji kepada penjawat awam

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Adnan Mat (duduk,tengah) pada sidang media selepas merasmikan penutupan Bengkel Pengurusan Pentadbiran AUEGCAS 2021 di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Wilayah Utara, di sini, pada Ahad.
A
A

SUNGAI PETANI - Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menuntut supaya kerajaan dapat menunaikan janji-janji mereka termasuklah Gantian Cuti Rehat (GCR) kepada penjawat awam.

Presiden Cuepacs, Datuk Adnan Mat berkata, kerajaan telah mengumumkan banyak perkara kepada penjawat awam namun ia tidak dilaksanakan.

Misalnya kata beliau, kerajaan pernah mengumumkan tentang kenaikan gaji tahunan dan pemendekkan kenaikan pangkat 'time-based' kali kedua dikurangkan daripada 13 tahun kepada 10 tahun pada 2018.

"Antara lain, janji mewujudkan gred 56 dan penebusan awal GCR sebanyak 75 hari memandangkan kami tetap menjadi pekerja kerajaan walaupun kerajaan telah berubah.

"Justeru, kami tidak membincangkan siapa ahli politik tetapi membincangkan yang kami pekerja kerajaan yang taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan mendukung konsep 'goverment of the day'," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan penutupan Bengkel Pengurusan Pentadbiran AUEGCAS 2021 di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Wilayah Utara, di sini, pada Ahad.

Ujar beliau, pihaknya berharap kerajaan dapat mempertimbangkan segala bentuk pengumuman yang dibuat sebelum ini untuk ditunaikan.

"Ia susulan pengumuman tersebut merupakan pengumuman kerajaan bukannya pengumuman parti politik,"katanya.

Katanya, pihaknya meminta janji berkenaan tidak dibiarkan begitu sahaja walaupun kerajaan merasakan pengumuman itu tidak mampu dilaksanakan.

Adnan berkata, Cuepacs berharap kerajaan dapat memilih untuk melaksanakan satu atau dua perkara yang dijanjikan dalam perkhidmatan awam ini.

"Kami sebenarnya telah memberi khidmat terbaik kepada rakyat dan negara, malah kami kekal menjalankan tugas serta tidak terlibat dalam politik walaupun kerajaan berubah sebanyak tiga kali," katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan kerajaan kekal aman damai walaupun kerajaan berubah beberapa kali dalam tempoh ini.

"Kami juga menjadi petugas barisan hadapan dan tunjang kepada kerajaan untuk memutuskan rantaian Covid-19 yang akhirnya, program imunisasi Covid-19 mencapai 93 peratus orang dewasa,'' jelasnya.

Tambah beliau, Cuepacs merasakan tuntutan janji penjawat awam adalah adil walaupun sedar kerajaan juga memiliki kesukaran untuk melaksanakan kesemua janji tersebut.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!