Larkin Sentral sedia kendali VTL darat

Petugas melakukan persiapan untuk pelaksanaan VTL yang akan bermula pada Isnin di Terminal Bas dan Pengangkutan Awam Larkin Sentral, Larkin, Johor Bahru pada Ahad.
Petugas melakukan persiapan untuk pelaksanaan VTL yang akan bermula pada Isnin di Terminal Bas dan Pengangkutan Awam Larkin Sentral, Larkin, Johor Bahru pada Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Terminal Bas dan Pengangkutan Awam Larkin Sentral (Larkin Sentral) sudah sedia sepenuhnya menguruskan pelaksanaan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) darat yang akan bermula Isnin.

Pengurus Bangunan Larkin Sentral, Mohd Helmi Mohd Affendi berkata, pada pelaksanaan hari pertama itu, sejumlah 32 perjalanan bas dengan 1,440 orang sehari akan disediakan dengan selang masa antara 15 hingga 30 minit setiap satu.

"Bas terawal dari Johor Bahru ke Queen Street, Singapura bermula pada jam 7.30 pagi manakala bas terakhir pula 8.30 malam manakala ketibaan bas dari Singapura ke Johor Bahru pula seawal pukul 9.20 pagi," katanya kepada pemberita di Larkin Sentral, pada Ahad.

Perdana Menteri memaklumkan inisiatif VTL darat akan dilaksana serentak dengan VTL udara yang menghubungkan lapangan terbang Changi di Singapura dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Malaysia bermula Isnin.

Katanya, setakat ini persediaan untuk VTL darat telah siap 100 peratus termasuk ruangan untuk pelaksanaan Ujian Saringan Covid-19 Atas Ketibaan (OAT).

Mohd Helmi berkata, pihaknya memaklumkan jualan tiket untuk perjalanan dari Malaysia ke Singapura masih belum habis terjual sebaliknya dari Singapura ke Singapura telah habis dijual untuk tempoh minggu pertama.

"Ini mungkin kerana tidak ramai rakyat Singapura atau pemegang taraf pemastautin tetap (PR) negara itu yang berada di negara ini dan memohon untuk pulang, berbeza dengan jumlah rakyat Malaysia yang berada di sana.

"Sehubungan itu, saya menasihatkan pengunjung dari Malaysia ke Singapura untuk memastikan kesemua dokumen diperlukan lengkap dan tiba di Larkin Sentral satu jam awal untuk memudahkan urusan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau menjelaskan, semua pengembara akan ditempatkan di ruang menunggu di pintu tiga dan empat terminal itu yang boleh menampung seramai 90 individu dan setiap bas boleh menempatkan seramai 45 penumpang.

“Pihak syarikat bas akan periksa sama ada Pas Perjalanan Vaksinasi (VTP) mereka sah atau tidak serta keputusan ujian Covid-19 yang dibuat dua hari sebelum berlepas dan dokumen lain.

“Jika keputusan negatif Covid-19 mereka boleh terus keluar dari terminal, namun sekiranya positif mereka akan dibawa oleh pihak Kementerian Kesihatan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.