Benarkan calon 18 tahun bertanding, Johor bakal pinda Fasal 16

Hasni
Hasni
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - [DIKEMAS KINI] Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bakal meminda Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor bagi menurunkan kelayakan usia daripada 21 kepada 18 tahun untuk individu bertanding sebagai calon di kerusi DUN pada pilihan raya.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, satu sidang khas DUN akan diadakan dalam masa terdekat bagi meminda Fasal 16 Bahagian 2 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor.

Katanya, pada ketika ini hanya warganegara berusia 21 tahun dan bermastautin di Johor layak menjadi calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

"Johor diminta untuk mengambil tindakan berhubung pelaksanaan umur minimum calon 18 tahun bagi kerusi DUN selaras dengan peruntukan Seksyen 5 Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan yang dipinda melalui Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 [Akta A1603] yang diwartakan pada 10 September 2019 dan berkuat kuasa pada 11 September 2019.

“Bagaimanapun sekiranya sesuatu pilihan raya melibatkan kerusi Dewan Negeri, calon 18 tahun masih belum boleh bertanding selagi tidak pinda. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyarankan negeri-negeri untuk pinda Undang-Undang Tubuh bagi membolehkan had umur minimum diturunkan kepada 18 tahun selaras Seksyen 5 Jadual Kelapan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-14, di sini, pada Ahad.

Pada 24 November lalu, semua Menteri Besar dan Ketua Menteri bersetuju meminda Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri bagi membolehkan individu berusia 18 tahun menjadi calon pilihan raya umum, pilihan raya negeri dan pilihan raya kecil.

Perkara itu dipersetujui dalam Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri (MBKM) Ke-137 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Setakat ini, beberapa negeri telah meminda perlembagaan negeri masing-masing bagi tujuan tersebut antaranya termasuklah Sabah pada Disember 2019; Perlis (Mei 2020); Terengganu (Ogos 2020); Sarawak (November 2020); Kelantan (Disember 2020); Perak (Julai 2020); Pulau Pinang (September 2021) dan Kedah, baru-baru ini.

Artikel Berkaitan: