Lima ditahan dalam Op Bersepadu Khas Cegah Jenayah

Polis melakukan pemeriksaan kenderaan di sekatan jalan raya di Jalan Perpaduan pada Operasi Bersepadu Khas Cegah Jenayah di Ipoh.
Polis melakukan pemeriksaan kenderaan di sekatan jalan raya di Jalan Perpaduan pada Operasi Bersepadu Khas Cegah Jenayah di Ipoh.
A
A
A

IPOH - Lima lelaki ditahan dalam tempoh empat jam Operasi Bersepadu Khas Cegah Jenayah dilancarkan di sekitar Ipoh di sini pada Ahad.

Mereka antara 492 individu yang diperiksa dan dikesan melakukan kesalahan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Selain itu, sebanyak 27 saman dikeluarkan dan dua kenderaan disita dalam operasi membabitkan Unit Kereta Peronda (MPV), Unit Rondaan Bermotosikal (URB), ronda cegah jenayah (RCJ) serta sekatan jalan raya (SJR) itu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, operasi tersebut dilaksanakan secara berterusan pada hujung minggu dan cuti umum bagi mengekalkan trend penurunan indeks jenayah di negeri itu.

Menurut beliau, statistik menunjukkan kadar jenayah menurun sebanyak 4.68 peratus iaitu 2,576 kes dicatatkan berbanding 3,044 kes tahun lalu.

"Polis menyasarkan lokasi yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian jenayah pecah rumah, curi, ragut, samun dan kawasan penagihan dadah.

"Kita menggunakan pendekatan 'omnipresence' terutama di kawasan tumpuan orang ramai supaya masyarakat berasa lebih selamat," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Operasi Bersepadu Khas Cegah Jenayah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini.

Mior Faridalathrash berkata, operasi serentak di seluruh negeri itu turut memeriksa di kawasan jenayah.

Artikel Berkaitan:

Katanya, tiga kamera pintar atau peranti i-COPS digunakan bagi mengesan pesalah trafik dengan tunggakan kompaun serta waran tangkap di negeri ini.

"Selain itu, polis akan melakukan pemeriksaan ke atas individu yang dikehendaki, 'local bad character' dan 'registered bad character' bersangkut kes jenayah.

"Kita harap operasi ini dapat mengurangkan kegusaran masyarakat terhadap kejadian jenayah serta membentuk kerjasama dengan berkongsi maklumat kegiatan jenayah di kawasan mereka," katanya.