Pas cadang tubuh jawatankuasa bebas bincang royalti minyak

Tuan Ibrahim (dua dari kiri) bersama Hanifa (dua dari kanan) serta Kamal (kiri) melihat Projek Penstabilan Tebing Sungai Kelantan di Kampung Pohon Celagi, Pasir Mas pada Ahad.
Tuan Ibrahim (dua dari kiri) bersama Hanifa (dua dari kanan) serta Kamal (kiri) melihat Projek Penstabilan Tebing Sungai Kelantan di Kampung Pohon Celagi, Pasir Mas pada Ahad.
A
A
A

PASIR MAS - Pas mencadangkan kerajaan Persekutuan menubuhkan jawatankuasa bebas bagi mencari penyelesaian berhubung isu royalti minyak Kelantan.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihaknya akan membincangkan isu tersebut terutama dengan Kementerian Kewangan.

Katanya yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), perkara itu berikutan tidak ada kesamaan antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri yang mempunyai fakta masing-masing berkaitan isu berkenaan.

“Saya mencadangkan mungkin satu jawatankuasa yang dipersetujui kedua-dua pihak ditubuhkan untuk mengesahkan beberapa perkara berkaitan royalti minyak Kelantan.

“Terutamanya berkenaan jarak batu nautika kedudukan medan pengeluaran petroleum dan kedua, jumlah pengeluaran petroleum,” katanya ketika ditemui sempena Lawatan Kerja Menteri KASA di Projek Penstabilan Tebing Sungai Kelantan di Kampung Pohon Celagi di sini pada Ahad.

Hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan Kelantan, Datuk Hanifa Ahmad; Pengerusi Kerja Raya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti negeri, Datuk Azami Mohd Nor serta Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri, Kamal Mustapha.

Tuan Ibrahim mengulas lanjut, perjanjian petroleum antara Kelantan dan kerajaan Persekutuan pada 1975 sebelum ini tidak menyatakan soal jarak medan pengeluaran minyak itu.

“Jawatankuasa itu juga boleh melihat semula status royalti minyak seperti yang dinyatakan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika di Dewan Rakyat.

Artikel Berkaitan:

“Insya-ALLAH ada jalan penyelesaian dalam isu ini dan lebih mudah kerana kita bersama dengan kerajaan Persekutuan,” katanya.

Isu royalti petroleum kepada Kelantan sering menjadi perdebatan dan diperjuangkan kerajaan Kelantan sejak sekian lama termasuk mengambil tindakan saman terhadap kerajaan Persekutuan.

Kelantan bagaimanapun pada Oktober 2018 menarik balik saman tersebut susulan komitmen kerajaan pusat ketika itu bawah pentadbiran Dr Mahathir Mohamad yang mahu membayar royalti kepada Kelantan dan Terengganu seperti dinyatakan dalam mesyuarat Majlis Kewangan Negara.

Akhbar sebelum ini melaporkan kenyataan Tengku Datuk Seri Zafrul bahawa Petronas tidak akan membuat bayaran royalti tunai kepada mana-mana negeri di Semenanjung termasuk Kelantan.