Kestabilan pasukan kunci kejayaan Liverpool

KLOPP
KLOPP
A
A
A

PENGURUS Liverpool, Jurgen Klopp mengakui kestabilan yang dimiliki ketika ini dilihat sebagai kunci prestasi prolifik The Reds apabila membelasah Southampton 4-0 sekaligus berjaya menghasilkan 10 gol tanpa balas dalam seminggu di Anfield.

Menurut Klopp, Liverpool juga kembali mendapat rentak selepas beberapa pemain utama kembali daripada kecederaan selain prestasi yang memberangsangkan ditampilkan penyerang, Mohamed Salah dan Sadio Mane pada pra-musim.

“Ia tidak begitu mudah untuk bermain apabila anda kehilangan pemain seperti yang berlaku kepada kami musim lalu.

“Kini saya tahu apa yang kami kurang. Kami kurang kestabilan kerana kami tidak mempunyai pertahanan tengah buat seketika dan kami perlu cari jalan penyelesaian.

“Kami perlu berusaha untuk menjadi stabil dan serius selain bertahan dengan baik cara supaya dapat satu platform untuk bermain bola sepak dengan lebih baik dan kemudian kami boleh menjaringkan gol,” katanya.

Dalam pada itu, pengendali berbangsa Jerman itu turut memuji aksi yang ditampilkan Diogo Jota apabila berjaya mencetak dua gol termasuk jaringan pantas yang dilakukan oleh pemain Portugal tersebut.

Ujar Klopp, Jota membuat keputusan bijak untuk menyertai kelab itu meskipun dia mengetahui perlu menghadapi cabaran untuk memecahkan barisan tiga penyerang Liverpool yang sudah mantap.

“Jota adalah pemain yang luar biasa. Dia menandatangani kontrak bersama kami satu setengah tahun lalu dan dia adalah pemain yang sempurna kerana dia mempunyai segala-galanya yang diperlukan Liverpool. Dia mempunyai kemahiran teknikal,fizikal dan dia sangat pintar serta boleh mempelajari semua perkara taktikal dengan cepat.

Artikel Berkaitan:

“Dia juga boleh bermain di tiga posisi depan dan No 10. Dia mempunyai kepantasan dan keinginan untuk menyelesaikan segalanya. Rekod jaringannya juga cukup baik.

“Malangnya dia mengalami kecederaan besar tahun lalu namun ia sedikit pun tidak mematahkan semangatnya untuk beraksi dengan lebih baik. Saya sangat gembira dengan prestasinya,” kata Klopp.