Jaminan pekerjaan antara persepsi, keutamaan generasi muda

 Aspek pekerjaan dan kewangan adalah dua perkara penting yang bergerak seiringan demi kelangsungan hidup selain berperanan sebagai jaminan pada masa depan. - Foto 123rf
Aspek pekerjaan dan kewangan adalah dua perkara penting yang bergerak seiringan demi kelangsungan hidup selain berperanan sebagai jaminan pada masa depan. - Foto 123rf
A
A
A

KUALA LUMPUR - Aspek pekerjaan dan kewangan adalah dua perkara penting yang bergerak seiringan demi kelangsungan hidup selain berperanan sebagai jaminan pada masa depan.

Sejak bermulanya peradaban, manusia sememangnya berusaha untuk mencapai sesuatu iaitu sebelum kewujudan wang tunai dan perdagangan barter menjadi kaedah pembayaran.

Dalam ledakan era internet misalnya, banyak pekerjaan baharu telah dapat diwujudkan termasuk jawatan seperti jurutera perisian hinggalah animator atau pelbagai jawatan dalam kategori pemasaran digital.

Malah, pada hari ini misalnya, kita turut bergerak ke arah merealisasikan sebuah negara digital yang seiring dengan Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) dan dijana oleh generasi rangkaian telekomunikasi dikenali sebagai teknologi generasi kelima atau 5G.

Apa yang pasti, kesemua inisiatif ini dirangka dalam usaha mengejar satu matlamat sama iaitu mempermudah dan meningkatkan kehidupan seharian.

Namun, seiring perkembangan semasa, ternyata takrifan pekerjaan itu ternyata turut berubah.

Siapa sangka, aktiviti atau pekerjaan seperti bermain permainan video mampu menjadi tajuk utama media sebagai antara pekerjaan dengan gaji tertinggi di dunia.

Bukan setakat itu, pekerjaan seperti pencipta kandungan dan pempengaruh media sosial turut menjadi kerjaya pilihan bagi generasi muda seperti Generasi Z atau Gen Z (yang dilahirkan dalam tempoh 1997-2012), tanpa mengira tahap pendidikan mahu pun status sosial.

Artikel Berkaitan:

Pada November, pihak Malaysia Digital Economy Corporation menganjurkan acara selama sebulan - Festival Kreativiti Digital Malaysia (MYDCF) 2021 bagi mengetengahkan segmen animasi dan permainan di Malaysia.

Mungkin tidak ramai yang tahu, ketika Covid-19 memberi kesan yang buruk, industri permainan menyaksikan perkembangan sebaliknya apabila terbukti terus berkembang, termasuk kalangan penggiatnya yang berupaya mengekalkan usaha masing-masing.

Salah seorang jurulatih dan pengulas sukan elektronik atau e-sukan terkenal negara, Mohd Amirul Aiman Mohammad Kamal atau ‘Laphel’ berkata, beliau pernah bertugas sebagai seorang eksekutif sebelum beralih menjadikan pengulas sebagai kerjaya sepenuh masa.

“Apa yang saya peroleh dalam masa setahun sebelum ini, sebaliknya mampu diraih dalam sebulan. Saya tidak sebegitu bimbangkan soal masa depan kerana sudah membuat perancangan kewangan seawal mungkin selain berusaha menjalankan perniagaan sampingan,” katanya.

Menurut Laporan Industri Permainan Asia Tenggara 2021, hasil perolehan permainan di Malaysia disasarkan mencecah lebih AS$402 juta (AS$1=RM4.237) pada 2021, dipacu oleh barisan bakat atau tenaga kerja yang pelbagai serta idea asal membabitkan ekosistem yang unik.

Selain e-sukan, generasi muda ini juga lebih tertarik untuk melibatkan diri dalam usaha penghasilan kandungan kreatif yang mampu menjana pendapatan menarik hanya berdasarkan pandangan serta perkongsian yang diperoleh menerusi media sosial masing-masing.

Apakah Jaminan Pekerjaan Masih Jadi Keutamaan?

Seiring dengan perubahan definisi atau maksud pekerjaan, timbul persoalan apakah jaminan pekerjaan ini masih menjadi keutamaan golongan muda seperti Gen Z?

Sejak ekonomi dibuka semula dan impak ketara akibat Covid-19 selama dua tahun kelihatan semakin berkurangan, ini telah membawa pewujudan ribuan pekerjaan.

Ketika kita berharap agar semua jawatan tersebut dapat diisi mudah oleh kalangan pencari kerja yang teruja, syarikat-syarikat atau majikan sebaliknya berdepan apa dikenali sebagai tempoh ‘The Great Resignation’ atau pemberhentian kerja secara ketara manakala tawaran untuk kalangan lulusan institusi pengajian tinggi pula tidak lagi bersandarkan semangat berkobar-kobar sepertimana yang diharapkan.

Walaupun kalangan pengurus modal insan kerap menjalankan temuduga, mereka ternyata masih sukar menemui calon yang diinginkan berikutan majoriti generasi muda yang sebaliknya menuntut atau menetapkan syarat seperti waktu kerja anjal dan bekerja secara hibrid.

Malah, ada yang sanggup bertindak meletak jawatan apabila diarahkan untuk kembali bertugas di pejabat.

Biarpun ramai pekerja mengutamakan usaha untuk mencapai aspek kehidupan-pekerjaan yang seimbang, fleksibel serta lebih tenang, bagaimana pula dengan tuntutan di atas dari sudut mengubah kitaran kerja pada masa akan datang?

Apakah kita akan terus kekurangan pekerja manakala syarikat atau majikan terpaksa mengubah dasar semata-mata untuk menarik dan mengekalkan bakat-bakat ini?

Golongan muda, masa depan dan simpanan

Ketika Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyuarakan kebimbangan mengenai risiko kemungkinan ahlinya tidak mempunyai simpanan mencukupi untuk menampung usia persaraan akibat isu gaji, inflasi dan pengangguran terutama dalam kalangan muda, segelintir Gen Z pula berpendapat sebaliknya.

“Tidak dinafikan KWSP adalah pilihan baik untuk tujuan simpanan, terutama caruman daripada majikan. Namun, saya tidak melihat diri saya bekerja untuk orang, memberi komitmen tempoh kerja yang lama serta mengorbankan kesihatan mental demi pekerjaan itu.

"Bukanlah lebih baik jika saya dapat bekerja sendiri,” kata Sharifah Nur Amalina Syed Khairuddin, 23, yang melihat dirinya sebagai pekerja nomad atau bebas dan tidak terikat dengan cara kerja tradisional.

Siswazah bidang kewangan itu berkata, selepas menamatkan latihan industri dengan sebuah bank global, beliau akhirnya berpendapat bahawa kerjaya itu tidak sesuai dengan gaya hidup yang diinginkan.

“Saya boleh meraih (pendapatan) ribuan sehari menerusi urus niaga saham serta mata wang kripto. Saya juga membuat perancangan kewangan berdasarkan lima kategori - wang tunai bagi tujuan kecemasan, saham, emas, kripto dan hartanah,” ujarnya.

Realitinya, walaupun generasi lebih berusia ternyata bimbangkan pilihan kerjaya anak-anak atau cucu serta sikap atau tanggapan generasi muda terhadap pekerjaan masa kini, bagaimana pula kita dapat menyelami senario itu untuk lebih memahami kalangan generasi itu?

Atau, sanggupkah kita berdepan dengan satu lagi aliran keluar bakat-bakat kreatif di masa akan datang apabila generasi muda ini memilih untuk mengubah kaedah pekerjaan tradisional? - Bernama