X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 18 Januari 2022

Masih banyak perkara perlu diperbaiki Villa: Gerrard

Steven Gerrard
A
A

PENGENDALI Aston Villa, Steven Gerrard mengakui masih banyak ruang yang perlu diperbaiki dalam pasukannya meskipun berjaya memperoleh kemenangan 2-1 ke atas Crystal Palace.

Selepas berjaya meraih tiga mata penuh ketika menentang Brighton pada penampilan sulungnya sebagai pengurus Villa pada minggu lalu, bekas kapten Liverpool itu berjaya mengekalkan rentak kemenangan pasukannya ketika bertandang di Selhurst Park.

Pada perlawanan tersebut, Matt Targett dan John McGinn berjaya meletakkan The Lions selesa dua gol sebelum tamat separuh masa pertama.

Bagaimanapun Palace berjaya mendapatkan gol saguhati menerusi Marc Guehi pada masa kecederaan, namun ia masih tidak cukup untuk menafikan kemenangan Villa.

“Prestasi separuh masa pertama kami sangat baik. Walaupun begitu, pasukan sentiasa berwaspada dengan kebangkitan mereka pada separuh masa kedua kerana Vieira sudah tentu akan melakukan perubahan.

"Pasukan boleh meraikan kemenangan pada malam ini, tetapi mereka harus segera kembali bekerja pada esoknya kerana banyak lagi perkara yang perlu dilakukan terutamanya dalam misi menyediakan pasukan yang hebat,” katanya.

Dengan kemenangan tersebut Villa melonjak ke tangga ke-11, mengumpul mata yang sama bersama pasukan di tempat ke-10, Crystal Palace.

Gerrard bakal berdepan Pep Guardiola pada aksi liga seterusnya apabila juara Manchester City bertandang ke Villa Park pada Rabu.

“Kami menjangkakan perlawanan menentang City akan sengit, namun saya yakin pasukan akan memberi persembahan yang terbaik.

“Kami gembira dengan permulaan yang kami buat tetapi masih banyak kerja yang perlu dilakukan,”katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!