Siasat helikopter terbang rendah iringi perarakan pengebumian

Perarakan pengebumian mayat di Little India Ipoh, diiringi dengan perkhidmatan helikopter yang melakukan penerbangan rendah. - Foto ihsan pembaca
Perarakan pengebumian mayat di Little India Ipoh, diiringi dengan perkhidmatan helikopter yang melakukan penerbangan rendah. - Foto ihsan pembaca
A
A
A

IPOH - Polis akan melakukan siasatan secara menyeluruh berhubung insiden sebuah helikopter yang melakukan penerbangan rendah ketika perarakan pengebumian mayat di Little India Ipoh di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, satu laporan polis telah dibuat dan siasatan dijalankan selepas sebuah video perarakan pengebumian tular di laman sosial.

"Kita akan lihat sama ada mereka mempunyai kebenaran untuk membuat perarakan. Mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebarang aktiviti perarakan adalah tidak dibenarkan.

"Yang kedua adakah mereka mendapat kebenaran daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) untuk melakukan penerbangan rendah. Berdasarkan video itu, ia terbang terlampau rendah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Ops Cegah Jenayah Khas Kontinjen Perak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini pada awal pagi Ahad.

Mengulas lanjut, Mior Faridalathrash berkata, tindakan akan diambil sekiranya wujud kesalahan dalam perarakan tersebut.

"Kita akan siasat dari pelbagai sudut untuk kita lihat apa-apa kesalahan yang wujud termasuk pelanggaran SOP.

"Siasatan sedang dijalankan dan apabila siasatan selesai, kita akan ambil tindakan sewajarnya," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, tular di media sosial sebuah video berdurasi 30 saat yang merakam perarakan pengebumian seorang wanita pada pagi Sabtu dan perarakan tersebut didakwa diiringi khidmat helikopter, kuda dan pihak berkuasa.