Tuah tidak menyebelahi Melaka United

Penyerang import Melaka United dari Brazil, Giovane Gomes berusaha melepasi halangan para pemain Kuala Lumpur City FC dalam aksi separuh akhir Piala Malaysia pada Jumaat. - Foto Melaka United Football Club
Penyerang import Melaka United dari Brazil, Giovane Gomes berusaha melepasi halangan para pemain Kuala Lumpur City FC dalam aksi separuh akhir Piala Malaysia pada Jumaat. - Foto Melaka United Football Club
A
A
A

PENGENDALI Melaka United FC, Zainal Abidin Hassan mengakui terpaksa menerima hakikat bahawa tuah tidak menyebelahi pasukannya sekali gus meleburkan impian mereka ke pentas akhir selepas tewas kepada Kuala Lumpur City FC dalam penentuan sepakan penalti ketika aksi separuh akhir Piala Malaysia lewat malam Sabtu.

Beliau berkata, walaupun hasrat dan cita-cita skuad Sang Kancil tidak kesampaian untuk mengukir sejarah baharu negeri Melaka pada edisi ke-100 piala berprestij itu, namun pujian perlu dihamburkan kepada para pemain yang mempamerkan semangat juang tinggi selain tidak berputus asa mengheret perlawanan ke masa tambahan.

"Bagi saya yang utama para pemain nampak bersungguh-sungguh, pada masa tambahan mereka masih mengasak dan mencipta beberapa peluang di kawasan lawan namun malam ini bukanlah malam kami untuk cipta kemenangan.

"Rezeki tidak menyebelahi Melaka, pasukan ini masih tidak tewas cuma kita tidak berjaya sempurnakan penalti untuk pergi ke perlawanan akhir, walaupun kecewa tetapi pemain telah berikan yang terbaik dan perlu meneruskan perjuangan," katanya kepada pemberita selepas perlawanan di sini.

Sepak mula di Stadium Hang Jebat sebelum itu terpaksa ditunda ke jam 10.08 malam selepas mengalami gangguan bekalan elektrik menyebabkan stadium bergelap hampir dua jam.

Dalam aksi yang dibanjiri lebih 18,000 penonton itu, skuad Warga Kota bimbingan jurulatih Bojan Hodak terlebih dahulu merobek gawang tuan rumah pada minit ke-9 menerusi J Partiban sebelum Ahmad Syamim Yahya menyumbat gol penyamaan untuk Melaka United pada minit ke-65.

Terikat dengan agregat 2-2, perlawanan itu diheret hingga 30 minit masa tambahan namun tiada jaringan berjaya dihasilkan kedua-dua pasukan yang memaksa sepakan penalti diadakan dan dimenangi Kuala Lumpur dengan keputusan 5-3. - Bernama

Artikel Berkaitan: