Piala Dunia Remaja: Malaysia tempah slot suku akhir

Antara aksi menarik perlawanan Malaysia menentang Afrika Selatan bagi saingan Kumpulan A Piala Dunia Remaja 2021. - Foto Facebook Persatuan Hoki Antarabangsa
Antara aksi menarik perlawanan Malaysia menentang Afrika Selatan bagi saingan Kumpulan A Piala Dunia Remaja 2021. - Foto Facebook Persatuan Hoki Antarabangsa
A
A
A

SKUAD hoki remaja negara meneruskan momentum positif pada saingan Piala Dunia Remaja apabila menewaskan Afrika Selatan 4-3 dalam perlawanan terakhir Kumpulan A sekali gus menempah slot suku akhir pada Sabtu.

Kemenangan kedua selepas mengharungi tiga perlawanan menyaksikan anak buah Wallace Tan mengumpul tujuh mata selepas mengharungi tiga perlawanan kumpulan - menang ke atas Chile 2-1, seri 1-1 menentang Belgium, menewaskan Afrika Selatan 4-3.

Pada perlawanan itu, skuad negara terlebih dulu mendahului lawan menerusi jaringan pukulan sudut penalti Muhammad Fahmi Khalid pada minit ke-29 untuk memimpin babak pertama 1-0.

Pada separuh masa kedua, Afrika Selatan kembali menyamakan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-34 daripada Guy Morgan, sebelum Kamarulzaman Kamaruddin kembali meletakkan pasukan negara di depan melalui pukulan sudut penalti pada minit ke-41.

Afrika Selatan yang tidak mengalah kembali menyamakan kedudukan kali ini menerusi jaringan padang Jared Campbell pada minit ke-48, namun Shamir Rizmi Mohd Shamsul terus memberi tekanan kepada lawan dengan jaringan padang pertama di Piala Dunia Remaja pada minit ke-48 untuk mendahului 3-2.

Tersentak dengan jaringan itu, Afrika Selatan kembali mengasak akhirnya meledak jaringan penyamaan minit ke-54 sekali lagi menerusi jaringan padang Campbell sebelum Mohamad Akhimullah Anuar Esook memadam sisa kebangkitan lawan dengan pukulan sudut penalti pada minit ke-56 untuk tiga mata skuad negara.

Artikel Berkaitan: