X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 22 Mei 2022

Sabah digesa tangani isu kelemahan Imigresen

Maximus Ongkili
A
A

LABUAN - Federalisasi dan kelonggaran syarat-syarat Imigresen untuk memasuki Sabah terutama melalui kapal laut di Pelabuhan Menumbok, telah menyebabkan negeri itu hilang kawalan ke atas hak-hak imigresennya, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

"Tiada kawalan Imigresen atau pemeriksaan ke atas penumpang yang tiba dengan feri dan kapal laut di Menumbok atau terminal feri Kota Kinabalu, yang merupakan pintu masuk ke Sabah dari pulau Wilayah Persekutuan Labuan.

"Ini adalah satu kelemahan yang serius...warga asing, penjenayah dan unsur-unsur yang tidak diingini diketahui sering menggunakan laluan ini untuk melarikan diri daripada tindakan undang-undang," katanya semasa berdialog dengan Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun Labuan (Labuan KDCA) dan penduduk Sabah di pulau itu mengenai isu sama ada kelemahan di Menumbok adalah satu pelanggaran terhadap Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Beliau mendakwa individu yang bukan penduduk Sabah juga sering menyalahgunakan kelemahan ini untuk tinggal melebihi tempoh atau bekerja secara haram di negeri itu sekali gus melanggar undang-undang Imigresen dan syarat-syarat MA63.

"Peserta dialog berkata kerajaan Sabah perlu mengambil langkah sewajarnya untuk memperketat undang-undang atau menutup kelemahan agar mematuhi undang-undang Imigresen dan pada masa yang sama, memulihkan hak-hak di bawah MA63," katanya.

Sebelum itu, Ongkili yang tiba di sini semalam untuk lawatan rasmi tiga hari, mengadakan pertemuan dengan Perbadanan Labuan dan Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur - Brunei, Indonesia, Malaysia, Filipina (BIMP-EAGA). -Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!