X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 28 Januari 2022

Pelari negara hasrat takluk menara tertinggi dunia

Soh Wai Ching yang kini berpangkalan di Dubai telah merangka program latihannya sendiri dalam cubaan pendakian bangunan Burj Khalifa. - Bernama
A
A

DUBAI - Selepas mengukir nama dalam Guinness World Records (GWR) pada 2020, pelari menara negara, Soh Wai Ching tekad untuk memecahkan dua rekod dunia dalam larian menara tahun ini walaupun berdepan cabaran.

Dua rekod GWR yang cuba dilakar itu ialah pendakian tangga menegak terpantas sejauh sebatu (lelaki) dan pendakian tangga menegak tertinggi dalam masa sejam (lelaki).

Berasal dari Selayang, Selangor, Wai Ching, 27, kini berpangkalan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu telah merangka program latihannya sendiri di sini dalam cubaan pendakian tangga menara tertinggi di dunia, bangunan Burj Khalifa.

Beliau berkata, selepas menjadi rakyat Asia pertama memenangi Empire State Building Run-Up bulan lepas, beliau mengubah fokus untuk menakluki menara tertinggi di dunia itu dan yakin dapat memecahkan dua rekod dalam satu percubaan.

“Selepas tiba di Dubai pada 9 November, saya mula membuat persediaan untuk program latihan dengan bantuan daripada rakyat Malaysia di sini dan beberapa penduduk tempatan yang membenarkan saya tinggal di sini, sediakan saya makanan dan pengangkutan. Saya juga mendapat kelulusan untuk berlatih di satu daripada menara residensi, 23 Marina yang mempunyai 93 tingkat.

“Tetapi masalah saya ialah masih belum dapat kelulusan daripada pihak hartanah Emaar, pemilik Burj Khalifa untuk saya lakukan cubaan larian tangga di menara itu,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Pavilion Malaysia pada Ekspo Dunia di Dubai.

Berkongsi rutin latihan di Dubai, Wai Ching yang juga graduan sains sukan dari Universiti Malaya berkata, beliau mendaki tangga 93 tingkat dua kali sehari, berjoging dan berbasikal setiap hari.

“Saya yakin sudah bersedia untuk memecahkan rekod dunia berganda... Saya hanya perlukan kelulusan daripada pemilik Burj Khalifa dan akan memecahkan rekod itu yang kini dipegang pelari menara dari Jepun, Ryoji Watanabe,” katanya.

Tahun lepas, Ryoji mendaki Tokyo Skytree di Sumida berjaya memecahkan rekod satu jam 6 minit 58 saat bagi pendakian tangga menegak terpantas sejauh sebatu untuk memecahkan rekod Soh dengan pendakian tangga tertinggi sejauh sebatu (1.609 km).

Wai Ching berkata, beliau juga telah membuat permohonan untuk mendaki tangga hotel tertinggi dunia, Gevora Hotel di Dubai dan masih menunggu kebenaran daripada pemilik hotel itu.

“Jika saya dapat kebenaran untuk mendaki dua bangunan di Dubai hujung bulan ini, saya akan menyertai larian World Trade Centre di Mexico pada 18 Disember,” katanya.

Bagaimanapun, Wai Ching yang kini berada pada kedudukan nombor dua dunia di belakang Piotr Lobodzinski dari Poland berkata, cubaannya memecahkan rekod itu bukan sekadar untuk kepuasan peribadi tetapi juga bagi mempromosi larian menara dalam kalangan rakyat Malaysia selain memupuk semangat rakyat Malaysia agar melakar nama di peringkat antarabangsa.

“Saya amat berharap percubaan saya ini akan menjadi contoh kepada rakyat Malaysia agar sentiasa berusaha untuk menjadi juara dunia dalam semua aspek,” katanya.

Beliau juga berharap satu hari nanti, larian menara akan dikenali sebagai sukan dalam pelbagai acara seperti Sukan SEA, Sukan Asia dan Sukan Komanwel.

“Saya harap larian menara akan dimasukkan dalam Olimpik dan saya akan melakukan yang terbaik untuk membawa kejayaan buat Malaysia,” katanya.

Untuk rekod, Wai Ching adalah pengasas Persatuan Larian Menara Malaysia (MTA) yang kini berada di ranking pertama di Asia. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!